
BARU-baru ini, pimpinan PAS seluruh negara berhimpun bagi menghadiri program Liqa Fikr anjuran Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat. Majlis tersebut mendapat sambutan dengan kehadiran mencecah hampir dua ribu orang peserta. Dua kertas kerja dibentangkan pada hari berkenaan; iaitu: 1) Membina Jatidiri Tarbawi Dalam Medan Ujian Siyasah: Antara Keikhlasan, Hikmah Dan Keberanian; dan 2) Perpaduan Ummah: Antara Realiti Dan Strategi Menuju Kemenangan PAS Pada PRU16.
Setiap tajuk pembentangan mempunyai tema dan objektif tersendiri. Tajuk pertama memfokus pembentukan watak dan pembinaan syaksiah ahli; sementara tajuk kedua pula memberi penumpuan kepada pendekatan siyasah PAS dalam mendepani rencam politik semasa. Kedua-dua subjek ini amat relevan dengan situasi siyasah masa kini, dan menjadi bahan perdebatan dalam kalangan ahli jamaah yang peka dengan perkembangan semasa PAS.
Justeru, Liqa Fikr merupakan medan efektif dalaman jamaah yang berperanan untuk menyelaras serta menyatukan pemikiran ahli-ahli PAS di mana sahaja mereka diposisikan. Penyelarasan dan kesatuan fikrah perlu bertujuan untuk menyatukan fahaman, membina momentum dan menguatkan lagi pendirian parti di dalam ruang lingkup kelompok berkenaan.
Selain dari menyatukan fikrah, Liqa Fikr ini juga merupakan wadah ampuh untuk menjelaskan kepada ahli mengenai pendekatan politik yang diambil oleh PAS. Sebagai contoh, keperluan menyatukan ummah, kepentingan pelaksanaan konsep Tahaluf Siyasi dan Taawun Siyasi dihuraikan dengan panjang lebar oleh kepimpinan yang ada. Hal ini, seterusnya dapat merungkai kekaburan hala tuju pendekatan politik massa PAS serta menjadi pemandu kepada tindakan strategik parti selanjutnya.
Mewujudkan laman pertemuan atau liqa bukanlah baru. Umpamanya, pemimpin masyarakat Quraish suatu ketika dahulu menjadikan Darul Nadwah sebagai medan pertemuan untuk membuat keputusan dan menetapkan pendirian. Baginda Rasulullah SAW pula menjadikan rumah sahabat yang bernama al-Arqam bin Abi Arqam sebagai tempat asuhan aqidah kerohanian serta pendidikan syariat; dan amalan ini diikuti para sahabat baginda SAW selepasnya.
Di samping itu, program ini merupakan praktis metode komunikasi ‘top down’ dalam organisasi PAS. Struktur internal berkenaan memberi peluang kepada pimpinan atasan parti memberikan penjelasan, penerangan dan pencerahan mengenai motif atau apa-apa pendekatan politik yang ingin diambil PAS demi kelangsungan hayat, dan perjuangan menegakkan Islam dalam konteks politik demokrasi.
Pada masa yang sama, para pimpinan di peringkat Dewan-dewan, Perhubungan Negeri serta Kawasan dapat menyatakan respon secara terbuka ke atas isu-isu yang berbangkit terkait dengan judul kertas kerja yang menjadi topik pembentangan.
Sebenarnya al-Quran telahpun merakamkan kaedah bagaimana Nabi Sulaiman AS mengumpulkan kabinet, rakyat dan bala tenteranya bagi menyampaikan amanat dan penjelasan mengenai peranan masing-masing. Firman Allah bermaksud: “Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing”. (Surah an-Naml: 17)
Nabi Sulaiman AS tidak menolak mentah-mentah informasi yang sampai ke telinganya, tetapi baginda juga mendengar laporan dari pihak bawahannya seperti maksud firman Allah: “Burung belatuk itu tidak lama ghaib selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): ‘Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari nageri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. Sesungguhnya aku dapati seorang Perempuan memerintah mereka, dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan), dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar…”. (Surah an-Naml: 22-23)
Meskipun kadang-kala respons balas dari ahli-ahli peringkat berkenaan bercampur-campur, namun di hujung majlis pimpinan akan membuat kesimpulan, dan kesimpulan inilah menjadi rujukan dan pegangan ahli bawahan. Misalnya, Datuk Ustaz Idris Haji Ahmad dalam pembentangannya menyimpulkan bahawa keikhlasan, hikmah dan keberanian merupakan elemen yang membentuk jati diri kepimpinan serta kelicinan gerak kerja siyasah yang berintegriti.
Manakala Datuk Seri Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyimpulkan bahawa bersederhana dan berlapang dada dalam hal khilafiah dapat mengukuhkan kedudukan ummah, berbanding bercakaran sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan dan meleraikan perpaduan ummah.
Demikianlah peri penting program Liqa Fikr. Ia bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi ia merupakan medan untuk mencanai kefahaman ahli mengenai kehendak strategi parti serta kelangsungan perjuangan yang didambakan. Lebih dari itu, ia adalah medan menyatukan fikran dan mengukuhkan organ parti sepanjang masa.
Al-Faqir,
DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/1/2026











