
ALOR SETAR: Persoalan penyatuan politik orang Melayu bukan lagi isu retorik atau perbincangan bersifat teori sebaliknya telah menjadi soal kelangsungan, maruah dan amanah terhadap generasi akan datang.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, persoalan sama ada parti-parti politik Melayu perlu bersatu sering dianggap klise kerana diulang sejak puluhan tahun lalu.
Namun tegasnya, hari ini persoalan tersebut perlu dilihat sebagai isu survival dan amanah sejarah.
“Ini bukan lagi persoalan strategi politik semata-mata, tetapi persoalan maruah dan tanggungjawab terhadap masa depan generasi akan datang,” ujarnya.
PAS dan Umno miliki kekuatan tersendiri
Beliau mengakui PAS dan Umno merupakan dua parti terbesar orang Melayu yang masing-masing memiliki kekuatan tersendiri.
PAS katanya, mempunyai kekuatan akar umbi, disiplin dan idealisme perjuangan, manakala Umno pula berpengalaman panjang dalam pentadbiran negara serta memahami realiti kuasa dan struktur pemerintahan.
Namun, beliau melahirkan rasa dukacita apabila kedua-dua parti tersebut kini berada di blok berbeza dipisahkan oleh ego, emosi, luka lama serta kecurigaan yang berpanjangan.
Mengulas sentimen rakyat, Dr Haim Hilman berkata, secara umumnya masih ramai orang Melayu yang berharap agar penyatuan dapat direalisasikan.
Mereka katanya, tidak menuntut kesempurnaan, sebaliknya hanya mengharapkan kematangan kepimpinan, kerendahan ego serta keutamaan kepada amanah berbanding kepentingan peribadi dan kepartian.
Namun dalam masa yang sama, beliau mengakui terdapat sebahagian orang Melayu yang telah berhenti berharap kerana kecewa melihat janji berulang, slogan dilaungkan, tetapi perpecahan terus berlaku.
Kekecewaan itu turut berpunca apabila agama, bangsa dan negara dijadikan naratif politik, sedangkan keadilan dan integriti diketepikan.
Sejarah Champa dan Temasik jadi iktibar
Dr Haim Hilman mengingatkan bahawa sejarah telah mengajar dengan harga yang terlalu mahal untuk diabaikan.
Tragedi yang menimpa orang Melayu Champa katanya, wajar dijadikan iktibar apabila suatu ketika dahulu mereka merupakan bangsa berdaulat dengan kerajaan dan empayar sendiri namun kini hampir lenyap dari peta dunia.
Beliau turut membangkitkan sejarah Melayu Temasik yang suatu masa dahulu memerintah tanah sendiri tetapi hari ini menjadi bangsa minoriti.
Menurut beliau, kegagalan tersebut tidak wajar disandarkan kepada bangsa lain semata-mata sebaliknya berpunca daripada kegagalan kepimpinan Melayu sendiri untuk bersatu, membaca perubahan zaman serta meletakkan kepentingan bangsa dan agama mengatasi kepentingan diri, kelompok atau parti.
Dr Haim Hilman berkata, bangsa lain berjaya bukan kerana mereka sempurna tetapi kerana mereka bersatu dalam perkara asas, berstrategi dalam perkara penting serta berdisiplin dalam mengukuhkan penguasaan ekonomi dan kecemerlangan pendidikan.
Sebaliknya, beliau melihat budaya politik orang Melayu masih lemah apabila terlalu setia secara beremosi, terikat dengan nostalgia serta menyokong parti bukan atas dasar prinsip tetapi kerana sejarah keluarga dan legasi lama.
Lebih tegas, beliau menyatakan bahawa ramai pemimpin Melayu hari ini telah gagal menjaga amanah apabila politik dijadikan laluan singkat untuk kekayaan, jawatan dijadikan simbol kemewahan dan kepercayaan rakyat dijadikan modal peribadi.
“Apabila seseorang yang asalnya hidup sederhana tiba-tiba menikmati gaya hidup luar biasa mewah hanya kerana jawatan politik, rakyat berhak bertanya dari mana datangnya semua itu,” katanya.
Seruan berubah dan setia berprinsip
Sehubungan itu, Dr Haim Hilman menegaskan bahawa penyatuan Melayu sebenarnya terletak pada keberanian orang Melayu sendiri untuk berubah di pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.
Beliau menyeru agar rakyat menghentikan budaya mempertahankan pemimpin yang jelas bermasalah serta menghentikan kesetiaan tanpa prinsip.
Ini katanya, bukan soal membenci mana-mana pemimpin atau parti tetapi soal memilih yang paling hampir dengan kebenaran demi masa depan orang Melayu dan Malaysia.
“Masa depan tidak boleh terus digadai atas nama nostalgia dan emosi. Ia mesti dibina atas nilai, amanah, kejujuran dan keberanian membuat pilihan yang sukar,” jelas beliau.
Dr Haim Hilman menegaskan bahawa bangsa yang masih mampu berharap adalah bangsa yang belum kalah dan negara yang dipimpin dengan keikhlasan akan sentiasa diberi peluang oleh sejarah. – HARAKAHDAILY 15/1/2026











