
KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang menyasarkan untuk memperoleh tambahan sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangannya, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, sasaran itu termasuk kerusi yang mempunyai majoriti kemenangan tipis di bawah 1,000 undi, di mana berdasarkan analisis data dan rekod prestasi semasa, khususnya di kawasan dikenal pasti berpotensi dimenangi.
Menurut beliau, kerusi terbabit akan dijadikan kerusi tumpuan dengan gerak kerja lebih kerap, namun kerusi lain tetap diberi perhatian menerusi pelaksanaan program dan aktiviti berterusan.
“Kita melihat prestasi wakil rakyat PN di Pahang sangat baik berdasarkan rekod dan gerak kerja di lapangan. Boleh tengok sendiri di laman sosial masing-masing, mereka memang bekerja dan bergerak setiap hari,” katanya kepada pemberita, di pusat khidmat DUN Panching, semalam.
Beliau berkata, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN menunjukkan komitmen tinggi dengan turun padang setiap hari membantu rakyat, termasuk menyalurkan bantuan kerusi roda, katil pesakit, tongkat, bantuan persekolahan dan keperluan lain walaupun tanpa peruntukan rasmi.
“Rakyat nampak usaha ini. Walaupun tiada peruntukan, mereka masih mampu membantu. Jadi kalau ada peruntukan, tentu lebih banyak yang boleh dibuat. Ini sebenarnya bukan kelemahan bagi kita, tetapi satu kekuatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan parti untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu, di samping menambah sekurang-kurangnya lima lagi kerusi DUN pada PRU16 nanti.
Katanya, sasaran itu merangkumi kerusi PAS dan BERSATU, selaras dengan pendekatan PN yang memberi fokus kepada kekuatan gabungan secara keseluruhan, bukan parti secara individu.
“Mengikut kiraan politik, sekiranya kita memperoleh 22 kerusi, ia sudah mencukupi untuk membentuk majoriti. Terdapat beberapa kerusi dengan majoriti kecil seperti Tioman, Sabai serta kawasan lain termasuk Lipis yang berpotensi untuk ditawan,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Panching turut memaklumkan PAS dan PN akan meneruskan pelaksanaan Program PN Teraju Pahang (PTP) yang dijalankan secara berterusan di seluruh kawasan DUN di negeri itu.
Program berkenaan, katanya, diadakan dua kali sebulan dan sudah bermula sejak Januari lalu, termasuk di kawasan Semantan, sebelum diperluaskan ke DUN lain dengan penglibatan wakil rakyat PN bagi memberi sokongan kepada jentera serta masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 15/1/2026











