
HULU LANGAT: Projek yang dimaklumkan sebagai naik taraf jalan dari Kampung Sungai Pening ke Bandar Teknologi Kajang sebenarnya mempunyai spesifikasi menyerupai sebuah lebuh raya dan berpotensi menjejaskan tanah penduduk serta tanah perkuburan Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, hasil pertemuan dengan penduduk kampung di lokasi projek mendapati jajaran jalan yang sedang dilaksanakan jauh berbeza daripada jangkaan awal penduduk yang menyangka ia sekadar pelebaran jalan kampung sedia ada.
Menurutnya, penduduk memaklumkan bahawa lebar jalan yang dibina mencecah antara 100 hingga 120 kaki, melibatkan empat lorong (dual carriageway) serta bersambung terus ke Lebuhraya SILK.
“Orang kampung ingat ini projek turap jalan biasa, (sebaliknya) bukan hanya rezab jalan, tapi tanah penduduk pun diambil,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Ustaz Nushi berkata, maklumat yang dikongsikan penduduk dan disahkan melalui carian Pejabat Pusat Khidmat DUN Semenyih (PKDS) menunjukkan spesifikasi projek berkenaan jauh lebih besar daripada keperluan jalan kampung biasa.
Beliau turut memaklumkan, laluan berkenaan berkemungkinan menjadi jalan utama kepada sebuah projek perumahan ultra-mewah di kawasan berbukit berhampiran, yang dipromosikan sebagai mempunyai akses pantas ke pusat bandar Kuala Lumpur melalui ‘New Bypass Road’.
Jelasnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila jalan berkenaan dirancang merentasi kawasan kampung tanpa rundingan menyeluruh dengan penduduk yang terlibat.

“Projek perumahan ni harga dia juta-juta, siap ada helipad (pendaratan helikopter) dan guards (pengawal-pengawal) bersenjata. Tapi untuk mereka dapat akses pantas ke KL dalam 25 minit, mereka perlukan satu jalan pintas.
“Dan jalan pintas itu, malangnya, dirancang membelah tanah kampung. Ini menimbulkan persoalan besar kerana setakat ini tiada rundingan menyeluruh dibuat dengan penduduk terlibat,” soalnya.
Lebih membimbangkan, beliau menegaskan jajaran jalan berkenaan turut berpotensi melalui Lot 1147, iaitu tanah yang telah lama diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Islam sejak era 1990-an bagi menampung keperluan kawasan Lembah Klang.
“Penduduk mempersoalkan mengapa laluan ini perlu melalui tanah rizab Melayu dan tanah perkuburan.
“Dulu kita pernah cadangkan laluan ikut Puncak Damai. Laluan tu kurang kacau rumah orang, kurang kacau tanah sensitif.
“Tapi nampaknya opsyen tu ditolak tepi demi jajaran yang lebih ‘direct’ (terus) ke ‘highway‘ (lebihraya) SILK,” katanya.
Dalam masa sama, penduduk di situ maklumnya melahirkan kebimbangan susulan maklumat mengenai perancangan satu majlis pecah tanah pada 22 haribulan ini, sedangkan menurutnya beberapa perkara asas masih belum diperjelaskan.

Antara persoalan yang dibangkitkan Ustaz Nushi termasuk ketiadaan pelan rasmi yang dikemukakan kepada penduduk, tiada persetujuan bertulis daripada sebahagian pemilik tanah serta status kelulusan pihak berkuasa agama berkaitan isu tanah perkuburan.
Beliau menegaskan pembangunan tidak harus dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan sosial, hak penduduk asal dan sensitiviti agama.
“Kita kena belajar dari jiran kita di Sungai Long. Tengok apa jadi bila projek resort besar masuk tanpa ‘traffic plan’ yang betul. Jalan kampung sesak teruk sampai orang tempatan nak keluar rumah pun stres.
“Pembangunan tu bagus. Kita nak jalan elok. Tapi biarlah jalannya untuk kita rakyat marhaen di Sungai Pening, bukan sekadar karpet merah untuk VVIP di Anyara Hills memecut laju ke Kuala Lumpur.
“Kalau betul 22 (Januari) ni ada majlis, saya harap pihak atasan boleh jawab dulu soalan-soalan orang kampung ni. Janganlah ‘pecah tanah’ dulu, baru nak ‘pecah kepala’ fikir masalah kemudian,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026











