Hayati Israk Mikraj, didik generasi muda nilai perjuangan

Dr Halimah pada sidang media selepas Liqa Fikri, di Bangi, Selangor.  (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE).
- Advertisement -

​BANGI: Institusi pendidikan di negara ini diseru agar memanfaatkan sambutan Minggu Al-Quds Sedunia bagi memberi kefahaman yang jelas kepada generasi muda mengenai nilai sebenar Masjidil Aqsa dan perjuangan pembebasan Palestin.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi ​Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, sambutan itu yang diadakan bersempena peristiwa Israk dan Mikraj wajar menjadi titik tolak untuk umat Islam menjiwai roh perjuangan tersebut.

​“Saya menyeru kepada semua umat Islam, terutamanya institusi pendidikan dan sekolah-sekolah kita, ambil masa ini untuk fokus mengenai Al-Quds supaya umat Islam benar-benar menjiwai apa sebenarnya perjuangan kita untuk membebaskan tanah suci ini.

​“Gunakan ia sebagai satu peluang untuk memahamkan generasi muda terutamanya, supaya mereka merasai nilai Masjidil Aqsa dan kaitannya dengan peristiwa Israk dan Mikraj serta pengajaran di sebaliknya,” katanya.

​Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata demikian pada sidang media selepas program Liqa’ Fikri, di sini, hari ini.

Ustaz Mohd Azam Abd Samat  (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE).

​Sementara itu, Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kedah (Exco), Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, sokongan terhadap Palestin tidak boleh bermusim kerana penderitaan rakyat di sana masih berterusan walaupun terdapat khabar mengenai bantuan dan keamanan.

​Menurutnya, realiti sebenar menyaksikan bantuan masih sukar memasuki Gaza dan kekejaman rejim Zionis tetap berlaku.

​“Minggu Al-Quds yang dilancarkan di seluruh dunia ini, dan di Malaysia melalui NGO-NGO, adalah usaha untuk memastikan kesedaran masyarakat kepada Palestin sentiasa hidup.

​“Isu Palestin tidak akan padam. Malah, kita difahamkan tahun ini akan dihimpunkan lebih ramai aktivis seluruh dunia dan kapal-kapal misi antarabangsa yang dirancang bukan hanya oleh umat Islam, tetapi kesedaran masyarakat antarabangsa,” jelasnya.

​Tambah Mohd Azam, sokongan terhadap Palestin kini merentasi agama apabila masyarakat bukan Islam dan negara-negara luar turut bangkit menentang penindasan atas dasar kemanusiaan.

​Beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Kedah untuk menyokong penuh program tersebut yang dijadualkan berakhir pada 29 dan 30 Januari ini di negeri berkenaan. – HARAKAHDAILY 10/1/2026

- Advertisement -