Sambutan hangat Liqa Fikri PAS, hampir 2,000 hadir

Noor Najhan Mohamad Salleh
- Advertisement -

BANGI: Kehadiran hampir 2,000 peserta dalam program Liqa Fikri PAS Pusat membuktikan ahli-ahli PAS amat mendambakan program pengisian dan tarbiyah yang menyelaras kefahaman serta gerak kerja parti.

- Advertisement -

Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, penganjuran kali ini melebihi jangkaan awal apabila pendaftaran yang pada asalnya dibuka kepada 1,500 peserta terpaksa ditutup selepas mencecah lebih 1,600 orang, manakala kehadiran sebenar menjangkau hampir 2,000 peserta. 

“(Kehadiran) hari ini peserta kita di luar jangka. Ini menunjukkan ahli-ahli PAS amat mendahagakan program-program seumpama ini,” katanya ketika ditemui  Harakahdaily selepas program Liqa Fikri PAS Pusat di Grand Ballroom, Tenera Hotel, di sini, hari ini 

Menurutnya, Liqa Fikri menghimpunkan semua lapisan kepimpinan parti, merangkumi Majlis Syura Ulamak, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, kepimpinan dewan-dewan sehingga peringkat kawasan. 

“Bagi peringkat cawangan, penglibatan dibuat secara dalam talian di markaz-markaz PAS bagi memastikan pengisian program dapat diikuti secara menyeluruh,” ujarnya.

Tambah beliau, Liqa Fikri merupakan program tahunan yang dianggap wajib oleh parti kerana berfungsi menyelaraskan wehdatul fiqh dan wehdatul amal dalam kalangan pimpinan serta ahli. 

“(Program ini bertujuan) supaya kepimpinan dan ahli-ahli mempunyai pandangan yang sama. Kita boleh berbeza pandangan tetapi apabila dah ada program seumpama ini, pimpinan sendiri yang membentangkan kertas kerja, kita semua kena mencairkan pandangan kita untuk menerima apa yang disampaikan oleh kepimpinan kita,” jelasnya. 

Noor Najhan juga menyatakan, antara fokus utama Liqa Fikri ialah membincangkan isu-isu semasa yang relevan dengan keperluan parti dan ummah, termasuk pembentangan kertas kerja oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai perpaduan ummah, serta oleh Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad yang menyentuh aspek tarbiyah dalaman ahli. 

“Dua kertas kerja berkenaan penting dalam mengimbangi suasana semasa, khususnya ketika PAS berdepan ujian pasca kemenangan, selain membantu meredakan kegelisahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Noor Najhan menegaskan menjadi tanggungjawab semua peringkat kepimpinan negeri untuk menyambut pelaksanaan Liqa Fikri selepas penganjuran di peringkat pusat, termasuk di Kelantan, Terengganu sehingga Johor, serta Sabah dan Sarawak mengikut kemampuan masing-masing. 

“(Matlamatnya) supaya tajuk-tajuk yang dibentangkan hari ini sampai ke akar umbi parti,” jelasnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Lajnah Tarbiyah PAS Pusat turut melancarkan buku baharu, Daurah Tadribiyah siri kedua yang akan digunakan sebagai bahan program kuliah haraki di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kawasan secara bulanan. 

Menurutnya lagi, buku berkenaan mengandungi 10 tajuk, dengan pendekatan satu tajuk sebulan, tidak termasuk bulan puasa dan Syawal, manakala penyediaan buku Daurah Tadribiyah siri ketiga sedang giat dilakukan untuk kegunaan tahun hadapan. 

“Kita akan terus bergerak untuk menyatukan hati-hati para pejuang agama ini insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2026

- Advertisement -