
BANGI: Tindakan Amerika Syarikat (AS) mencampuri urusan dalaman Venezuela disifatkan sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas serta bukti kegagalan sistem dunia pada hari ini.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan kuasa besar itu mempamerkan sikap hipokrit apabila mereka sendiri melanggar prinsip demokrasi yang kononnya diperjuangkan selama ini.
“Apa yang berlaku di Venezuela menunjukkan kepada kita bahawa sistem yang diwujudkan hari ini untuk keamanan dunia telah dilanggar oleh kuasa besar yang berpegang kepada prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’.
“AS melanggar nilai demokrasi apabila bertindak ke atas sebuah negara berdaulat yang telah memilih Presiden yang sah secara demokrasi. Ini membuktikan bahawa hegemoni AS sebagai kuasa besar dunia sedang berada di penghujung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pergolakan di Venezuela susulan tindakan agresif AS di negara tersebut.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu mengesahkan bahawa tenteranya telah melancarkan serangan berskala besar ke atas Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro bersama isterinya sebelum diterbangkan keluar dari negara itu.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Khalil menegaskan bahawa dunia Islam dan negara-negara yang masih mempunyai nilai kemanusiaan perlu bersatu menentang kezaliman serta manipulasi undang-undang antarabangsa oleh AS.
Menurutnya, satu gelombang penentangan perlu diwujudkan melibatkan gabungan Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu berpengaruh bagi menyanggah tindakan negara itu menindas negara-negara yang lemah.
“Kita perlu kepada satu sistem baharu. Bagi PAS, Presiden Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah meletakkan tema yang jelas iaitu ‘Kembali Kepada Penyelesaian Islam’.
“Islam adalah sistem yang mesti mengambil alih sistem pincang yang ada pada hari ini yang jelas tidak adil, zalim dan melanggar nilai-nilai manusiawi,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2026




















