Fokus pembebasan Baitulmaqdis, Palestin

Minggu Al-Quds Sedunia

Dr Muhammad Khalil (duduk, dua dari kanan) dalam sidang media selepas Liqa Fikri, di Bangi, Selangor.  (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE).
- Advertisement -

​BANGI: Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis bakal menganjurkan Program Minggu Al-Quds Sedunia bermula 16 Januari hingga 31 Januari 2026 ini bagi menyemarakkan kesedaran mengenai pembebasan Palestin.

- Advertisement -

​Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tahunan yang sinonim dengan bulan Rejab dan peristiwa Israk Mikraj itu akan melibatkan seluruh negara dengan tumpuan khusus di empat negeri pentadbiran Perikatan Nasional (SG4) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

​Menurutnya, penganjuran ini bukan bermusim atau sekadar menyentuh isu Gaza semata-mata, sebaliknya ia membawa mesej yang lebih besar iaitu pembebasan Baitulmaqdis dan Palestin secara keseluruhannya.

​“Kita melihat isu pembebasan Baitulmaqdis dan Palestin adalah isu penting yang mesti sentiasa dihidupkan dalam masyarakat.

​“Walaupun Gaza paling berat menanggung kesan peperangan, namun isu paling besar ialah pembebasan tanah suci itu daripada cengkaman Zionis Israel yang kini dilihat semakin agresif mahu meluaskan sempadan mereka meliputi ‘Greater Israel’,” katanya dalam satu sidang media selepas Liqa Fikri, di sini, hari ini.

​Beliau memaklumkan, majlis perasmian program tersebut akan diadakan pada 16 Januari ini bertempat di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Terengganu manakala penutupnya dijadualkan berlangsung di Kedah pada 29 Januari kelak.

​Antara pengisian menarik sepanjang minggu tersebut termasuklah khutbah Jumaat khas solidariti, Konvoi Pembebasan Al-Quds, ‘Fun Run’ Demi Al-Quds, himpunan ‘Walk Together for Gaza and Al-Quds’, wacana serta forum kesedaran.

​“Program ini turut melibatkan pelbagai segmen masyarakat termasuk anak muda, wanita dan kanak-kanak melalui aktiviti seperti pertandingan mewarna gambar Masjidil Aqsa bagi memupuk jiwa cintakan Baitulmaqdis sejak kecil.

​“Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk bersama-sama menjayakan program ini atas dasar kemanusiaan dan solidariti menentang kezaliman,” ujarnya lagi.

​Mengulas mengenai situasi semasa di Timur Tengah, Muhammad Khalil berkata rejim Zionis dilihat tidak akan menghentikan serangan, malah merancang memperluaskan jajahan bukan sahaja di Gaza dan Tebing Barat, tetapi juga merangkumi Selatan Lubnan dan sebahagian Syria. -HARAKAHDAILY 10/1/2026

- Advertisement -