PIP mula operasi, Perlis muncul hab logistik serantau

- Advertisement -

PADANG BESAR: Perlis Inland Port (PIP) atau Pelabuhan Darat Perlis di Lembah Chuping mencatat sejarah baharu apabila operasi komersial pertamanya bermula secara manual semalam.

- Advertisement -

Operasi ini sekali gus menandakan fasa peralihan menuju operasi penuh secara berperingkat menjelang Februari 2026.

Sebagai hab logistik strategik di utara Malaysia, PIP dibangunkan khusus untuk menguruskan pergerakan kargo dan kontena rentas sempadan Malaysia–Thailand, bagi memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pintu perdagangan penting dalam jaringan ekonomi serantau.

Menurut maklumat yang dipersembahkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, kemudahan utama PIP kini telah siap untuk digunakan.

Antara yang telah beroperasi ialah jalan berikat, sambungan landasan rel baharu serta infrastruktur terminal yang membolehkan PIP mengambil alih operasi kontena daripada Padang Besar Container Terminal (PBCT) yang sudah melepasi kapasiti.

Fasa pertama PIP sedia kendali 300,000 TEU

Dengan kapasiti fasa pertama mencecah 300,000 TEU setahun, PIP dijangka menjadi pemangkin utama ekonomi negeri melalui peningkatan aktiviti logistik, pengurangan kesesakan di sempadan serta pembukaan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Perlis.

PIP turut dilihat berpotensi besar untuk muncul sebagai nod utama rangkaian perdagangan ASEAN serta laluan Rel Pan-Asia, sekali gus memperkukuh hubungan logistik Malaysia dengan China.

Perkembangan ini dijangka merangsang kemasukan pelaburan baharu dalam sektor logistik, perkilangan dan perkhidmatan sokongan industri.

Namun begitu, pelaksanaan operasi penuh PIP masih bergantung kepada penyempurnaan beberapa aspek teknikal kritikal, khususnya pensijilan sistem isyarat rel (signalling) serta penyelarasan operasi rentas sempadan antara agensi Malaysia dan Thailand.

Keberangkatan Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Yard Rel PIP itu turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut serta menyambut keberangkatan Raja Muda ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail, serta Ketua Pegawai Operasi PIP, Mohamad Ali Abdul Hussain.

Dalam sesi tinjauan tersebut, Tuanku Raja Muda berkenan melihat sendiri beberapa kawasan utama projek termasuk Pintu Masuk Thailand, kawasan pemeriksaan (Inspection Area), Rail Siding, Equipment Shed, Control Tower serta kawasan PIP R&R.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, PIP masih di fasa pertama dalam proses untuk siap dan dijangkakan akan membawa pelaburan pada tahun ini melebihi RM 700 juta.

“Perkembangan yang sangat positif dan insya-Allah sekarang telah bermulanya pengendalian kargo di PIP pada hari ini, 1 Disember 2025. Mudah-mudahan peningkatan ekonomi akan terus berjalan dan rancak di negeri Perlis ini,” katanya.

Perlis komited jayakan hab logistik moden

Kerajaan Negeri Perlis, melalui kerjasama rapat bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan agensi Persekutuan, menegaskan komitmen memastikan PIP beroperasi sepenuhnya mengikut jadual.

Kemudahan ini dijangka menjadi pemacu baharu pembangunan ekonomi negeri melalui pembentukan sebuah hab logistik moden, efisien dan berdaya saing di peringkat serantau.

Pelabuhan darat ini bukan sekadar meningkatkan keupayaan logistik Perlis, malah bakal mengubah landskap ekonomi negeri kecil ini menjadi pusat dagang strategik yang menghubungkan Malaysia, Thailand dan seluruh rantau Association of Southeast Asian Nations (ASEAN). – HARAKAHDAILY 2/12/2025

- Advertisement -