
IPOH: Razman Zakaria menyifatkan tindakan Woo Kah Leong membuat serangan peribadi dan memutar belit fakta sebagai taktik terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu integriti yang melanda gabungan parti kerajaan.
Razman berkata, tindakan Kah Leong cuba memanipulasi prosiding Dewan dengan membangkitkan isu remeh serta memutar belit naratif bagi menutup kepincangan moral dan kes rasuah melibatkan tokoh politik dalam gabungan yang disertai DAP.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria mengingatkan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan itu supaya cermin diri sendiri sebelum sibuk mencampuri urusan dalaman PAS.
”Saya menggesa ADUN Pasir Bedamar usah cuba berdalih dan mengalihkan isu sebenar. Beliau cuba menutup masalah dalam parti dan gabungan mereka sendiri, termasuk isu integriti dan kes rasuah melibatkan beberapa tokoh politik tanah air.
”Integriti tidak boleh dipilih secara selektif dan proses undang-undang sewajarnya dibiarkan berjalan tanpa campur tangan atau manipulasi persepsi,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Perak, di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Kah Leong yang menyamakan lawatan rasmi kerajaan pada tahun 2020 dengan insiden kempen politik di sekolah baru-baru ini, Razman menyifatkan perbandingan itu sebagai dangkal dan mengelirukan Dewan.
Jelas beliau, lawatan pada tahun 2020 dibuat atas kapasiti rasmi beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan ketika negara berdepan darurat kesihatan pandemik COVID-19, bertujuan memantau operasi dan menyalurkan bantuan sanitasi, bukan berkempen.
”Tujuan, konteks peraturan, dan keadaan negara pada waktu itu berbeza sepenuhnya. Lawatan tersebut tidak mengandungi sebarang elemen kempen politik atau ucapan parti.
”Sebaliknya, isu tular baru-baru ini jelas melibatkan unsur politik kepartian,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol.
Sehubungan itu, Razman menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk membawa usul khas bagi mengheret ADUN Pasir Bedamar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan sekiranya terus mengelirukan fakta.
Dalam pada itu, Razman turut menempelak sikap Kah Leong yang tidak matang kerana cuba menjaja naratif perpecahan dalam PAS dengan mengaitkan pertukaran jawatan Pesuruhjaya PAS Perak sebagai isu dalaman.
”Tuduhan yang cuba mengaitkan saya dengan perubahan jawatan Pesuruhjaya PAS Perak adalah tidak berasas sama sekali. Ini adalah prosedur biasa parti dan saya menghormati keputusan kepimpinan. Jawatan bukan matlamat, sebaliknya amanah perjuangan lebih utama,” katanya.
Beliau turut membidas sikap biadab Kah Leong yang sehingga kini enggan memohon maaf berhubung penyebaran karikatur ‘badut’ dan gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin di media sosial.
”ADUN Pasir Bedamar masih lagi tidak memohon maaf dengan isu karikatur badut dan gambar Tuan Guru Mursyidul Am PAS yang melambangkan politik yang tidak matang dan biadab.
”Rakyat boleh menilai sendiri adakah ini kualiti pemimpin yang perlu diangkat? Apa yang lebih penting ialah membina politik berasaskan fakta, nilai dan pentadbiran yang baik,” ujarnya lagi.
Tinjauan mendapati hantaran kontroversi bertarikh 15 November di Facebook peribadi Kah Leong masih belum dipadamkan, meskipun telah didesak pelbagai pihak termasuk Dewan Pemuda PAS Selangor yang menghantar memorandum bantahan baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 2/12/2025











