
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kerajaan negeri mempunyai perancangan besar berkaitan tuntutan sejarah terhadap Pulau Pinang, termasuk tindakan perundangan yang bakal dibawa ke mahkamah.
Menurutnya, kedudukan dan kehendak kerajaan negeri dalam isu tersebut melebihi apa yang dibangkitkan oleh para sarjana sejarah, sekali gus menunjukkan komitmen lebih tegas berbanding kenyataan sebelum ini.
“Kedah kini bergerak lebih jauh daripada sekadar perbahasan akademik. Kehendak kita lebih daripada itu,” tegasnya selepas satu majlis di Wisma PKNK, di sini semalam.
Sanusi menekankan bahawa perincian tindakan undang-undang tidak boleh diumumkan buat masa ini kerana ia sedang diteliti pasukan pengkaji serta peguam yang dilantik.
Katanya, setakat ini pasukan tersebut belum lagi membentangkan relif undang-undang yang bersesuaian kepada Mesyuarat Exco.
“Pasukan pengkaji bersama peguam belum bawa kepada Exco apakah relif yang sesuai untuk dibawa ke mahkamah nanti. Kehendak kita lebih daripada itu (jadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Khas Kedah). Saya tak boleh jawab lagi sebab akan sentiasa ada tindak balas dari Pulau Pinang,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri tidak mahu mendedahkan strategi terlalu awal kerana bimbang langkah itu membuka ruang reaksi balas yang boleh menjejaskan kekuatan hujah di mahkamah.
“Kalau kita hari-hari dedah, tak ada peluru selepas ini. Kita tidak mahu dedah sesuatu yang belum pasti dan belum sesuai dari sudut undang-undang,” ujarnya lagi.
Mengulas cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Khas Kedah menyerupai model Hong Kong–China, Sanusi menegaskan bahawa idea itu bukan datang daripada kerajaan negeri, tetapi daripada sarjana sejarah, Profesor Datuk Ahmad Murad Merican.
Cadangan Ahmad Murad itu dikemukakan dalam forum ‘Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia: Antara Fakta dan Tafsiran’, yang mencadangkan struktur institusi, politik dan ekonomi Pulau Pinang dikekalkan, tetapi diletakkan di bawah pentadbiran negeri Kedah.
Sebelum ini, Sanusi memaklumkan bahawa Kedah berada pada fasa akhir untuk memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan proses mahkamah berkaitan isu pajakan Pulau Pinang
Ia adalah satu langkah yang dibuat susulan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar kedudukan Pulau Pinang diperjelas secara telus.
Kedah pada tahun 2021 turut menuntut semakan semula pajakan dan bayaran sebanyak RM100 juta setahun kerana mendakwa nilai pajakan tidak pernah disemak sejak lebih dua kurun lalu.
Pada 10 November lalu, Sanusi memaklumkan bahawa pasukan penyelidik Kedah kini berada di London bagi mengesahkan dokumen berkaitan di beberapa muzium dan perpustakaan sebagai persediaan untuk memfailkan kes tersebut ke mahkamah ‘secepat mungkin’.
Kerajaan negeri sedang meneliti beberapa bentuk relif undang-undang sebelum isu hak negeri terhadap Pulau Pinang dibawa ke peringkat seterusnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2025











