Belasungkawa buat Dr Khairul Fahmi Mat Som, sahabat baik kami

- Advertisement -

USAI berprogram di Balai Islam, Istana Sharqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi, aku terpanar dengan ciapan berita kepulangan sahabatku, Khairul Fahmi Mat Som jam 8.09 malam. Sebulan lepas, kami berjanji untuk berubat di Besut untuk susulan rawatan penyakit stroke, sambil aku memeluk sahabat itu buat kali terakhir.

Sosok aktivis yang tidak kenal lelah ini adalah mantan aktivis pelajar pertengahan dekad 1990-an, mantan Penolong Setiausaha PAS Pusat selama lima penggal, juga Naib YDP PAS kawasan Gombak yang aktif walaupun berkeuzuran akibat serangan stroke dalam tempoh dua tahun ini.

Berita kematian Fahmi menyebar di pelbagai aplikasi media sosial, arwah rakan baik kepada ramai aktivis sejak zaman muda. “Hebat sahabat ‘ni, dia tanpa ada darah Kelantan, tetapi mampu bercakap loghat Kelantan dengan baik sehingga disangka sebagai anak jati Kelantan di UiTM.. kesan bergaul rapat dengan budak Kelantan serta Besut… arwah berasal dari Hulu Langat, Selangor” ujar Cikgu Zuraidin, ADUN Chetok Kelantan yang merupakan sahabat karib semenjak alam kampus. “Ana ‘gi meminang untuk Fahmi di Palong… kira dah macam keluarga sendiri ‘dah sahabat ‘ni”, tukas mantan Presiden MPP UiTM itu, Zuraidin anggota legislatif Kelantan yang juga menantu bekas Timbalan Menteri Besar negeri itu.

- Advertisement -

Akhi Fahmi lulusan Ijazah Teknologi Perkayuan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam, merupakan Timbalan Presiden MPP UiTM sesi 1994-1995. Aktivis tegar ini dalam kesibukan dalam jamaah, jerih kepayahan turut berjaya menyiapkan pendidikan tertiarinya. Berdoktorat dalam bidang Pengurusan sesuai dengan latar kerjayanya serta ladang kepakarannya dalam PAS selama sedekad sebagai Penolong Setiausaha Agung.

Beliau terlibat aktif dalam Dewan Pemuda PAS pasca siswazah, bermula di Kawasan Gombak sehinggalah sebagai Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat. Jarang ada amilin kampus sebaik kualiti Fahmi, sebahagian besar tercicir dalam jamaah sebaik memasuki pasaran kerja atau memilih untuk berpangku lengan tanpa alasan yang syarie.

Sosok ini terus menjadi kenangan kolektif buat kami semua kerana sifatnya mudah bergaul, tidak memilih harkat sosial untuk bersahabat. Fahmi menjadi aktivis semenjak zaman kampus sebagai pimpinan serta anak muda generasi kebangkitan semula Islam. Ditempa dengan acuan tarbiah jamaah, ditajnid oleh pimpinan ulama sehingga memimpin pelajar-pelajar Islam di UiTM Shah Alam.

Aktivis kampus ini menyambung idealismenya sebagai aktivis Dewan Pemuda Kawasan Gombak dan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sebagai Naib Ketua, sezaman dengan Ustaz Hasbullah Ridzuan. Akhi Fahmi (gelaran kami) telah menggalang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat dalam sesi 2011-2013 di zaman Ustaz Nasruddin Tantawi sebagai Ketua Dewan Pemuda.

Di zaman Pemuda kail panjang sejengkal itu, pelbagai program besar Dewan Pemuda PAS telah dilaksanakan seperti Ijtimak Tarbawi, MUZIKA (majlis usrah artis dan anak seni), penjenamaan semula Unit Amal, street dakwah, pemberdayaan Unit Kajian Strategik, penerangan kaedah gempur, serta dakwah melalui medsos termasuk filem pendek ‘Oley’ yang fenomenal.

Kelibatnya di lapangan bukan sekadar mengurus pentadbiran bahkan beliau telah aktif dalam bantahan awam sejak zaman kampusnya lagi, di antaranya terlibat dengan demonstrasi membantah Ops Kriket pada tahun 1997 di hadapan pintu masuk Universiti Malaya.
  
Di antara aktivis yang berani mendombrak kezaliman penguasa, pernah pada tahun 2013 namanya mencuat di pelbagai media kerana ciapan Tweeter yang menyentuh parti pemerintah menyebabkan NGO pro-kerajaan membuat laporan polis terhadap beliau.

Almarhum aktif dalam bidang kemasyarakatan, di antaranya pernah menjadi Pengerusi Surau Ubudiah Gombak yang terkenal aktif dengan program-program ilmu serta kemasyarakatan di wilayah sub-bandar itu. Dr Fahmi juga pernah menjadi Pengurus Besar KMI Kelana Jaya Selangor, juga membantu masyarakat melalui beberapa NGO bernuansa kebajikan Islam.

Dr Fahmi adalah sosok sahabat baik yang cakna, impulsif dan amilin berkepakaran tinggi dalam harakah Islam. Figura ini adalah sumber inspirasi yang tidak pernah malap, istiqomah dalam pelbagai jawatan dalam PAS dari cawangan sehinggalah PAS Pusat.

Siang dan malam terus berusaha mengusap akal untuk melihat kejayaan jamaah Islam. Sosok aktivis yang sentiasa menjaga amal ibadahnya, memanfaat setiap inci ruang masa dengan gerak kerja di medan amal Islami.

Kami alumni Dewan Pemuda PAS pastinya akan merindui canda dan tawanya dalam group WhatsApp kami, juga di alam realiti. Tiada lagi ajakan ‘Jom Rash Balouch!’ tiada lagi ‘Jom Restoran Taqwa Gombak!’. Memori zaman Pemuda terpahat kemas selagi nyawa dikandung badan.

Hidupnya berjasa pada ummah, disambangi seluruh tanah air dengan beragam program jamaah, kepakaran dicurahkan untuk menggerakkan pentadbiran PAS.

Pagi ini hati kami basah, juga mata yang menyorot pada foto WhatsApp tentang anak lelakinya, Yusuf, yang sedang bergelut dengan peperiksaan SPM. Ribuan manusia menyolati jenazah Almarhum di Masjid Khairiah di Seri Gombak, mendoakan Almarhum yang berjasa besar.

Doa kudus berpanjangan buat sosok aktivis, juru bina gerakan Islam dan sahabat karib kami dalam perjuangan ini. Kami juga akan menyusulmu ke lahan negeri abadi. Berehatlah sahabatku, Almarhum Dr Fahmi Mat Som!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 2/12/2025

- Advertisement -