
KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No. 2) 2025 dikhuatiri akan memberikan kuasa berlebihan kepada pihak eksekutif sekali gus menjejaskan kebebasan badan profesion guaman negara.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, kritikan utama terhadap pindaan ini adalah kebimbangan mengenai campur tangan politik yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap kebebasan badan tersebut.
Tegasnya, beliau menyentuh khususnya Seksyen 7 dan 7A yang memberikan kuasa kepada Menteri untuk melantik anggota Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB).
”Kuasa Menteri ini menunjukkan konsentrasi yang tinggi dalam urusan pelantikan. Terdapat tujuh anggota yang disebut langsung sebagai dilantik oleh Menteri, manakala Majlis Peguam hanya diwakili oleh Pengerusi dan seorang anggota badan peguam.
”Ini mewujudkan pengaruh eksekutif yang dominan ke atas LPQB sendiri dan dirisaukan akan menghakis peranannya dalam reformasi profesion yang dihasratkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No. 2) 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut, Che Mohamad Zulkifly turut mempersoalkan kuasa Menteri untuk membatalkan pelantikan tanpa perlu memberikan sebarang sebab.
Menurutnya, tindakan sedemikian bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan serta melanggar hak asasi, selain memburukkan imej kerajaan yang kini sudah terpalit dengan kontroversi lantikan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang pernah ditegur oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
”Pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang (LPA) ini memberi kesan kepada prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif dan kehakiman. (Sedangkan) Peguam adalah ‘officer of the court’.
“Jika badan guaman ini menjadi terikat kepada eksekutif, maka secara tidak langsung mahkamah juga terkesan. Peguam mungkin tidak bebas untuk berhujah di mahkamah terutama melibatkan kes berkaitan kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu korum dan pengundian di mana lapan daripada 13 ahli LPQB adalah lantikan yang dipengaruhi Menteri, yang membolehkan keputusan majoriti didominasi oleh pihak eksekutif.
Keadaan ini, katanya, berisiko menjadikan standard kelayakan peguam atau pendidikan undang-undang sebagai satu keputusan politik dan bukannya berasaskan kelayakan bebas.
Menyentuh mengenai Seksyen 9 berkaitan mesyuarat lembaga, beliau mempersoalkan ketiadaan peruntukan jelas sekiranya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir.
”Sepatutnya ahli lembaga lain yang mempunyai pengetahuan undang-undang boleh mempengerusikan mesyuarat, namun tidak dinyatakan. Ini seolah-olah ahli lain tidak layak,” jelasnya.
Walaupun memuji Fasal 6 yang menyentuh kewajipan penzahiran kepentingan, beliau mengingatkan bahawa peruntukan konflik kepentingan semata-mata tidak memadai jika majoriti ahli masih di bawah telunjuk Menteri.
”Dikhuatiri wujud ‘loyalty bias’ yang mempengaruhi keputusan dan akhirnya berlaku ‘self-censorship’ dalam kalangan anggota lembaga.
”Kerajaan disaran memberikan fokus kepada penambahbaikan pendidikan undang-undang dan tadbir urus institusi yang baik berasaskan meritokrasi, ketelusan dan bebas campur tangan politik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/12/2025











