
RANTAU PANJANG: Kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Aliakbar Gulasan di DUN Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menandakan PAS dan Perikatan Nasional (PN) mula menapak di Negeri Bawah Bayu.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata keputusan itu membuktikan PAS dan PN kini mula diterima di negeri tersebut walaupun pelbagai cabaran dihadapi sepanjang kempen.
“Insya-Allah, saya yakin kepimpinan ini mampu merubah landskap politik Sabah untuk jangka panjang biarpun hanya satu kerusi dimenangi PAS dan PN,” ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Padang Licin, di sini.
Menurut beliau, pengundi di Karambunai kekal menyokong calon PN meskipun wujud dakwaan pengundi diberikan wang oleh pihak tertentu.
“Insya-Allah dengan adanya tapak kita di sini, ia akan memberi kesedaran pada rakyat Sabah pada masa panjang,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS negeri Kelantan merakam penghargaan kepada seluruh jentera parti yang bertungkus lumus serta pengundi yang tetap memilih calon berwibawa.
Beliau menegaskan walaupun PN bukan parti kenegerian, perjuangannya adalah untuk masa depan seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah.
Siti Zailah berharap rakyat Sabah semakin matang dalam menilai kepimpinan agar negeri itu tidak terus berdepan isu-isu rasuah dan integriti.
Beliau optimis pada masa mendatang rakyat Sabah akan memberi kepercayaan lebih besar kepada PN untuk menerajui pentadbiran negeri tersebut.
Terdahulu, beliau tmengingatkan rakyat Parlimen Rantau Panjang supaya lebih berwaspada biarpun air banjir semakin pulih.
“Kerana itu Kak Lah nasihatkan supaya masyarakat kita khususnya yang sering dilanda banjir supaya jangan leka, sentiasa berwaspada setiap masa,” ujarnya selepas menyampaikan sumbang banjir di Kampung Padang Licin, di sini.
Sebanyak 30 keluarga mangsa banjir menerima sumbangan berupa keperluan dapur yang disumbangkan sebuah badan bukan kerajaan, Yayasan Muhibbah.
Turut hadir pada majlis penyampaian itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Dato’ Rohani Ibrahim dan Penghulu Mukim Padang Licin. – HARAKAHDAILY 2/12/2025











