Rakyat dinasihat kekal berwaspada sepanjang MTL

- Advertisement -

KUBANG KERIAN: Rakyat Kelantan dinasihatkan supaya kekal berwaspada berikutan tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan sehingga Mac depan meskipun keadaan banjir kini semakin pulih.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, orang ramai perlu terus berhati-hati dan menjaga keselamatan diri serta keluarga biarpun masing-masing telah pulang ke rumah.

Menurutnya, bencana banjir boleh berubah dalam masa singkat akibat hujan lebat yang tiba-tiba berlaku dalam tempoh tertentu.

“Keselamatan anak-anak dan ibu bapa perlu diberi perhatian terutama di kawasan berhampiran sungai, tali air dan lokasi berisiko tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas bersyukur, setakat ini tiada kejadian kehilangan nyawa akibat kecuaian dilaporkan.

“Persediaan awal dan sikap berjaga-jaga mampu mengelakkan insiden yang tidak diingini,” tambahnya.

Rohani menzahirkan kesyukuran kerana suasana masih terkawal tanpa insiden kemalangan jiwa.

“Ini permulaan yang baik untuk kita belajar mengurus situasi banjir dengan lebih sistematik. Semoga Allah terus melindungi kita daripada kejadian yang tidak mampu kita tanggung,” ujarnya.

Beliau menyeru rakyat supaya terus peka terhadap maklumat cuaca, mengikuti arahan pihak berkuasa dan berpindah awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika diperlukan.

“Kita harap ini yang terakhir, (banjir) namun apapun kita serah pada takdir dan susunan Allah. Yang penting kita ikhtiar, berjaga-jaga dan sentiasa berdoa agar tidak berlaku banjir besar lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kasut sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia anjuran Yayasan Muhibbah dengan kerjasama Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKEKWA).

Program berkenaan turut disertai Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (MESRA) dan kakitangan Hospital Pakar USM.

Sebanyak 69 pasang kasut diberikan kepada pesakit kanak-kanak sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini. – HARAKAHDAILY 2/12/2025

- Advertisement -