Prerogatif menteri ancam kredibiliti perundangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN–Jerlun) menegur keras beberapa peruntukan dalam RUU Kewangan 2025 serta pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 yang menurutnya membuka ruang terlalu luas kepada campur tangan menteri, sekali gus mengancam kredibiliti institusi perundangan negara.

- Advertisement -

Beliau menegaskan fasal 3 Seksyen 7 yang menetapkan keanggotaan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) seramai 13 orang menunjukkan lapan daripadanya dilantik terus oleh menteri, memberi gambaran kuasa prerogatif yang hampir mutlak.

“Saya khuatir apa-apa keputusan LPQB akan lebih terarah kepada keputusan politik berbanding penilaian terhadap pendidikan undang-undang dan standard kelayakannya,” ujarnya.

Merujuk Seksyen 71F, Dr Abd Ghani mempersoalkan kedudukan wakil Majlis Peguam yang dinamakan oleh badan itu tetapi masih perlu dilantik oleh menteri.

“Jika menteri tolak calon Majlis Peguam dan cadang orang lain, Majlis Peguam pula tak sokong, apakah kesudahannya keanggotaan LPQB ini?” tegasnya.

Beliau mencadangkan agar kuasa menteri digugurkan bagi para 71F, G, H, I dan J, dan hanya dikekalkan di 71K kerana ia tidak melibatkan mana-mana organisasi profesional.

Jerlun turut mempersoalkan Seksyen 75 yang mewajibkan anggota lembaga menumpukan sepenuh masa kepada urusan lembaga sedangkan peruntukan 71G dan 71H menetapkan ahli akademik sebagai anggota sepenuh masa.

“Bagaimana mereka hendak menumpukan sepenuh masa sedangkan mereka juga pensyarah sepenuh masa di universiti?” soal beliau ketika membahas RUU Profesion Undang-undang (Pindaan) (No.2) 2025 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau mencadangkan istilah ‘hendaklah menumpukan masa’ diganti dengan ‘bolehlah menumpukan masa’ (may devote) bagi memastikan ia realistik.

Seksyen baharu 71A yang memberi kuasa kepada menteri membatalkan pelantikan mana-mana anggota lembaga tanpa memberikan apa-apa alasan turut dibidas.

“Mana boleh menteri diberi kuasa menyingkir anggota lembaga tanpa sebab. Jika ada salah laku, berilah tunjuk sebab,” tegasnya menyifatkan peruntukan itu membuka ruang tekanan politik, menjejaskan kebebasan institusi dan kredibiliti LPQB.

Beliau menyinggung contoh kontroversi melibatkan seorang bekas peguam negara yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berkuat kuasa 15 November 2025 hingga 14 November 2027.

Individu itu terpalit kontroversi titah adendum membabitkan kes Datuk Seri Najib Razak sehingga membawa kepada notis penghinaan mahkamah.

“Ini contoh paling hampir bagaimana kuasa menteri yang luas boleh menjejaskan kredibiliti seseorang dan institusi,” katanya turut mempersoalkan keutamaan menteri yang menurutnya lebih ghairah mengawal LPQB berbanding menangani kelompongan undang-undang seperti Seksyen 377 (hubungan luar tabii) dan Seksyen 372 (eksploitasi pelacuran) dalam Kanun Keseksaan.

Beliau merujuk kes terbaharu di mana 202 individu termasuk penjawat awam dan warga asing ditangkap dalam serbuan aktiviti seks songsang di sebuah pusat SPA di Chow Kit pada 28 November 2025.

Juga, 13 lelaki termasuk warga emas 66 tahun dan seorang pelajar Intitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ditahan pada 30 November 2025 di Bandar Perai Jaya, Pulau Pinang.

Walaupun serbuan dilakukan oleh polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), mahkamah membebaskan mereka kerana kekurangan bukti dan tiada pengakuan.

“Adakah ia memerlukan persetujuan pihak terlibat sedangkan wujud elemen siasatan seperti dokumen tuala yang dipakai di premis SPA itu sendiri?” soalnya.

Beliau menggesa kerajaan meneliti kelompongan yang menyukarkan pendakwaan terhadap kesalahan seksual songsang terutama membabitkan umat Islam dan mengingatkan Dewan mengenai ancaman keruntuhan moral.

“Rakyat negara kita, majoritinya Melayu Islam, jangan ulang amalan kaum Nabi Luth. Perbuatan itu bukan saja dikeji Allah, bahkan dilaknat Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau membaca hadis ‘Inna akwafa ma akhafu ‘ala ummati ala qaumi Luth’ bermaksud ‘antara perkara yang paling aku takuti ke atas umatku ialah perlakuan kaum Nabi Luth‘. – HARAKAHDAILY 2/12/2025

- Advertisement -