
KUALA TERENGGANU: Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2025 menjadi platform penting untuk menghargai usahawan berjaya serta memberi inspirasi dan bimbingan kepada generasi muda yang menceburi dunia perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga ruang untuk menyemai semangat keusahawanan.
“Saya yakin ramai antara kita telah melalui liku dan cabaran yang sukar apabila memulakan perniagaan. Oleh itu, peranan usahawan berjaya untuk berkongsi pengalaman dari fasa permulaan hingga ke tahap matang amat penting.
“Bukan sahaja sekadar inspirasi, bahkan juga dari aspek praktikal meliputi teknik pemasaran, pengurusan modal, jaringan perniagaan dan ketahanan menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“AUT 2025 adalah platform yang tepat untuk menyemai semangat tersebut di mana usahawan yang berjaya dihargai dan dijadikan contoh serta pada masa sama memberi bimbingan danrangka sokongan kepada usahawan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan majlis itu di Hotel Permai, di sini kelmarin.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, menjelang tahun hadapan, kerajaan negeri akan memberikan penumpuan kepada memperkukuh pembangunan ekonomi dan keusahawanan.
“Ini bermakna kita akan berusaha untuk mempergiatkan ekosistem perniagaan yang kondusif, memperluas sokongan kepada usahawan, membangunkan kapasiti perniagaan dan memudahkan akses ke pasaran, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kejayaan program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) yang dilaksanakan oleh YPU, kerajaan negeri telah memutuskan untuk meneruskan inisiatif berkenaan pada tahun hadapan, termasuk memperluaskan pemilihan peserta kepada golongan B40 dan asnaf.
Tambahnya, kejayaan sesuatu program akan lebih baik apabila dilaksanakan bersama agensi-agensi berkaitan secara strategik.
“Maka, saya menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu demi merancakkan ekonomi negeri melalui perniagaan ini,” ujarnya.
Katanya lagi, mengikut rekod sehingga 30 September 2025, sejumlah 75,938 entiti perniagaan telah didaftarkan di Terengganu.
“Insya-Allah angka ini akan terus meningkat selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan ekonomi negeri. Kita yakin bahawa peningkatan bilangan perniagaan yang cekap dan produktif akan memacu pembangunan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada para usahawan untuk merebut peluang yang ada bagi memanfaatkan teknologi dan maklumat yang kini berada di hujung jari.
Beliau berkata, walaupun kemandirian itu penting, namun jaringan dan kerjasama antara usahawan serta agensi akan mempercepat pencapaian kecemerlangan.
“Bak kata pepatah, jika hendak berlari laju, larilah seorang diri. Jika hendak berlari jauh, larilah bersama-sama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada kepada penaja utama seperti SATU, TNB, EPIC, Trg Inc, TDM, Ladang Rakyat & YDSM, agensi PEUTER, NGO keusahawanan dan syarikat-syarikat yang terlibat.
“Tahniah saya juga ucapkan kepada para penerima Anugerah Usahawan Terengganu 2025 dan Tokoh Usahawan Terengganu kejayaan anda adalah inspirasi kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2025




















