
ALOR SETAR: Situasi banjir di Kedah semakin meruncing apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di tiga daerah utama iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena melonjak kepada 4,306 orang setakat pagi ini.
Angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 3,339 mangsa yang direkodkan pada petang Rabu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, seramai 1,453 keluarga kini ditempatkan di 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas beberapa PPS baharu dibuka bagi menampung pertambahan mangsa.
Antara PPS yang baharu dibuka ialah Sekolah Kebanggsaan (SK) Tunjang (Kubang Pasu), SK Sri Gunong (Kota Setar) dan Masjid An-Nur (Pokok Sena).
Kubang Pasu terus mencatat angka tertinggi dengan 2,395 mangsa daripada 872 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS.
Kawasan-kawasan yang terjejas banjir di daerah ini termasuk Kampung (Kg) Batu 10 1/2 Jalan Kodiang, Pekan Kodiang, Kg Tengah, Kg Malele, Kg Pering, Belakang Pejabat Pos, Padang, Changkat Buloh, Kg Sungai Petani, Kg Makpap dan Kg Kubang Betong.
Mukim yang terlibat pula ialah Temin, Sungai Laka, Binjal/Hosba, Keplu, Ah dan Pelubang Naga.
Daerah Kota Setar menunjukkan peningkatan besar dengan 1,726 mangsa daripada 522 keluarga, kesemuanya kini berada di lima PPS.
Antara kampung yang terjejas Kg Suka Menanti, Kg Alor Gunung, Kg Alor Senjaya, Kg Seberang Anak Bukit, Kg Alor Merah, Seberang Pantai Johor, Kg Alor Madi, Kg Titi Gajah, Kg Pekan Bukit Pinang, Kg Pantai Johor dan Kg Seberang Pumpung.
Mukim terlibat ialah Anak Bukit, Titi Gajah dan Alor Malai/Pumpong.
Daerah Pokok Sena pula menempatkan 185 mangsa daripada 59 keluarga di dua PPS yang dibuka setakat ini.
Kawasan terjejas banjir termasuklah Kg Baru, Kg Bukit, Kg Empa, Kg Derang, Kg Baru Padang Menusu, Kg Menorong, Kg Bukit Hijau dan Mukim terlibat masih sama, iaitu Derang.
Bacaan paras air sungai turut menunjukkan risiko yang masih tinggi dengan enam sungai melepasi paras bahaya, berbanding lapan sungai yang direkodkan pada petang Rabu.
Antara sungai yang mencatat bacaan paras bahaya ialah Sungai Baru di Kampung Sungai Baru, Kampung Padang Pasir, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Bata di Kampung Pahana.
Dengan situasi yang terus berubah, pihak berkuasa negeri terus menggerakkan operasi pemindahan dan pemantauan di lapangan.
Orang ramai khususnya di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa waspada dan mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa. – *HARAKAHDAILY 27/11/2025*












