
PADANG BESAR: Anak muda dari Kampung Wang Kelian dan Kampung Tasoh tampil sebagai wira tak didendang yang menjadi tulang belakang operasi bantuan banjir di Beseri di sebalik cabaran jalan terputus, cuaca tidak menentu serta kawasan dipenuhi pokok tumbang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun menzahirkan penghargaan yang amat besar terhadap pengorbanan dan keberanian golongan muda ini yang sanggup berdepan risiko demi memastikan bantuan sampai kepada penduduk.
Dalam misi bantuan banjir, Haziq bersama pasukan sukarelawan turun padang bagi menyediakan dan mengagihkan bantuan makanan kepada kira-kira 150 penduduk yang terjejas.
Bekalan merangkumi telur, sardin, ayam dan keperluan asas lain, dihantar sepenuhnya dengan berjalan kaki selepas laluan ke beberapa kawasan tidak dapat dilalui kenderaan.
Rakaman di lapangan turut menunjukkan bagaimana petugas terpaksa meredah kawasan jalan terputus serta lokasi yang dilitupi pokok tumbang menggambarkan betapa mencabarnya operasi bantuan kali ini.
Namun katanya, semangat mereka kekal utuh demi memastikan setiap keluarga menerima bantuan tepat pada masanya.
Haziq turut merakamkan penghargaan khusus kepada anak muda Kampung Wang Kelian yang bertindak sebagai penghubung utama antara penyumbang luar dan penduduk kampung.
“Saya kagum dengan semua anak muda Wang Kelian. Walaupun keadaan mencabar, kalian tetap bantu pastikan barang sampai kepada orang kampung. Semoga sumbangan ini dapat membantu walau tidak seberapa,” katanya.
Di Kampung Tasoh pula, Haziq menyantuni sekumpulan anak muda yang sejak pagi lagi membantu memindahkan barang-barang penduduk dari rumah ke rumah.
“Depa geng moto, tapi depa jugak yang berbakti pada orang kampung di kala kesusahan. ‘Hangpa’ (kamu semua) memang terbaik,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri.
Haziq juga telah turun ke Wang Kelian bagi menghantar bantuan tambahan memandangkan kawasan itu antara yang paling terkesan setelah jalan perhubungan mula terputus.
Jelas beliau, komitmen anak muda serta kesungguhan masyarakat setempat jelas membuktikan bahawa solidariti dan semangat gotong-royong terus menjadi kekuatan utama penduduk Beseri dalam mendepani bencana.
“Di kala air naik dan akses terputus, anak muda kampunglah yang menjadi pembantu, benteng dan penyelamat. Mereka mungkin tidak disebut-sebut, namun merekalah wira sebenar di lapangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2025












