
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menggesa pihak berkuasa menyegerakan siasatan berhubung ahli perniagaan, Albert Tye yang mendakwa memberikan wang dan suapan berjumlah RM629,000 kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Muhamad Hamdi Harun berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak beliau selepas video dan kenyataan terbuka berkaitan dakwaan tersebut tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, bahan yang tular itu menunjukkan terdapat asas kukuh untuk siasatan dilakukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta 694.
“Dakwaan tersebut adalah serius kerana ianya melibatkan pemberian dan penerimaan wang oleh individu yang memegang jawatan penting dalam pejabat Perdana Menteri.
“Walaupun individu berkenaan telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik, tindakan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup atau menghentikan siasatan terhadap semua pihak yang berkaitan dan rakyat berhak mengetahui kebenaran.
“Proses siasatan mestilah dijalankan sehingga ke peringkat tertinggi jika terdapat penglibatan mana-mana pihak yang memberi arahan atau turut menerima manfaat tersebut.
“Kami Pemuda PAS Negeri Terengganu menegaskan bahawa isu rasuah penyelewengan dan salah guna kuasa adalah isu besar yang mesti ditangani tanpa pilih kasih,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya komited menyokong usaha membersihkan negara daripada budaya rasuah dan salah guna kuasa, selain berharap siasatan dapat dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang tanpa campur tangan politik.
“Keadilan dan ketulusan mesti ditegurkan demi menjaga integriti pentadbiran negara kita dan kita harapkan pihak berwajib dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik insya-Allah,” katanya.
Naib Ketua PAS Terengganu, Ustaz Irsyad Syafiq Berhanuddin pula ketika ditanya mengenai dakwaan dalam video tular yang dikatakan mengaitkan Perdana Menteri, beliau berkata, perkara itu wajar diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Soal melibatkan PMX atau tidak, biarlah pihak berkuasa yang menentukan. Kami di peringkat pemuda membuat laporan ini atas tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Integriti dan amanah mesti dijaga, tidak kira apa jawatan atau kedudukan seseorang.
“Jika tidak terlibat, alhamdulillah. Tetapi jika benar terbabit, kita harap siasatan dijalankan dengan telus dan keadilan ditegakkan, sama ada individu itu orang besar atau tidak.
“Begitu juga hal berkaitan pemberian wang tambahan seperti disebut dalam video. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sebaik mungkin. Harapan kami hanya satu keadilan dan integriti,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2025











