Rasuah RM629,000: PAS Negeri Sembilan lapor polis

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan tampil membuat laporan polis berhubung tuduhan tular mengaitkan bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan isu rasuah bernilai RM629,000.

- Advertisement -

​Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebagai desakan agar satu siasatan menyeluruh, bebas dan segera dijalankan oleh pihak berkuasa.

​Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Ismail Mahat berkata, pihaknya memandang serius laporan yang tular di media sosial mengenai dakwaan penerimaan suapan tersebut daripada seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

​Tegasnya, tuduhan sedemikian merupakan satu bentuk salah laku yang amat berat dan tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana ia melibatkan integriti pentadbiran negara.

​”Peletakan jawatan beliau tidak boleh dijadikan titik noktah kepada isu ini. Sebaliknya, ia mesti menjadi permulaan kepada satu siasatan menyeluruh dan berintegriti oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

​”Siasatan ini penting demi memastikan setiap pihak yang terlibat, tanpa mengira jawatan, pengaruh atau parti politik dapat dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya lagi.

​Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Seremban, Ustaz Rosmin Adam dan YDP PAS Kawasan Rasah, Norhirman Mohd Yusof.

​Menurut Ismail lagi, tindakan membuat laporan polis itu merupakan komitmen tegas PAS dalam menentang sebarang bentuk rasuah serta mendesak agar tindakan sewajarnya diambil tanpa kompromi.

​”Rasuah adalah musuh negara. Integriti mesti dijunjung dan kebenaran wajib ditegakkan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2025

- Advertisement -