Tunai janji: Skim Kafalah Negeri Perlis dilancar

- Advertisement -

KANGAR: Salah satu janji Perikatan Nasional (PN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini ditunaikan apabila Kerajaan Negeri Perlis melancarkan Skim Kafalah Negeri Perlis bermula Ogos lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pelaksanaan skim berkenaan sedikit lewat daripada perancangan awal kerana kekangan kewangan, namun kerajaan negeri komited merealisasikan janji yang telah dibuat.

“Skim Kafalah ni salah satu yang kita janji dalam manifesto, dan Alhamdulillah kita dapat tunai pada bulan 8 (Ogos) tahun ni. Sebelum ini kita sudah rancang nak laksana, tetapi keadaan kewangan tidak begitu mengizinkan.

“Petang ni kita bergerak ke arah itulah dengan pelancaran rasmi, insya-Allah,” katanya pada Majlis Pelancaran Skim Kafalah Negeri Perlis di Dewan Residensi, Kediaman Menteri Besar, di sini kelmarin.

Skim ini menawarkan sumbangan RM500 kepada waris tanpa mengira agama dan bangsa, bertujuan meringankan beban keluarga si mati dalam menguruskan urusan pengebumian yang biasanya memerlukan bantuan kewangan segera.

“Selalunya keluarga si mati akan ambil bantuan daripada pelbagai pihak untuk menguruskan jenazah. Dengan adanya skim ini, jika mereka keluarkan duit sendiri terlebih dahulu pun, ada harapan untuk dapat kembali,” ujar beliau.

Menurut Mohd Shukri, skim ini memberi tumpuan kepada golongan miskin tegar dan rentan yang diperakui melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), wakil rakyat, serta mereka yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setahun untuk pelaksanaan skim ini, dengan kira-kira RM80,000 lebih sebulan dijangka mencukupi mengikut rujukan daripada Jabatan Pendaftaran.

Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, peruntukan tersebut juga akan ditambah jika keperluan meningkat pada masa hadapan.

Permohonan boleh dibuat melalui borang Yayasan Islam Perlis (YIP) dengan pengesahan daripada MPKK atau wakil rakyat dan tempoh maksimum proses kelulusan ditetapkan sekitar tiga minggu hingga sebulan.

Mohd Shukri menegaskan, inisiatif ini tidak harus dilihat daripada sudut politik semata-mata kerana ia menyentuh soal kematian yang menjadi ujian kepada semua tanpa mengira latar belakang.

“Skim Kafalah Kerajaan Negeri Perlis ini meringankan beban apabila satu keluarga diuji dengan kematian ahli keluarga. Soal kematian bukan perkara politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2025

- Advertisement -