
KUALA KEDAH: Seramai 54 waris di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor menerima Sumbangan Khairat Kematian (iKafalah) daripada Kerajaan Negeri Kedah, dengan setiap waris menerima RM500.
Majlis penyerahan sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM27,000 itu berlangsung di Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Pengkalan Kundor, Simpang Empat, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari berkata, bantuan tersebut merupakan tanda ingatan dan keprihatinan Kerajaan Negeri Kedah terhadap keluarga yang kehilangan insan tersayang.
”Sumbangan ini adalah tanda ingatan daripada Kerajaan Negeri Kedah atas kehilangan insan tersayang. Semoga ia dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh para waris,” ujarnya.
Menurut beliau, skim tersebut merupakan inisiatif di bawah agenda The Greater Kedah yang disasarkan khusus untuk golongan B40 bagi membantu meringankan beban kewangan waris dalam urusan pengebumian.
Untuk rekod, jumlah penerima iKafalah di DUN Pengkalan Kundor bagi tahun ini adalah seramai 147 orang, manakala pada tahun lepas seramai 192 penerima telah menerima manfaat yang sama.
Tambah Mardhiyyah, skim tersebut terbuka kepada semua yang layak tanpa mengira bangsa dan agama.
”Bagi waris yang layak, permohonan perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kematian dengan menyertakan dokumen seperti sijil kematian, permit kubur dan salinan kad pengenalan waris,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 24/9/2025











