
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan kenyataan terbaru Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sepatutnya menjadi isyarat awal kepada Umno serta membuka mata pihak tertentu.
Menurutnya, Anthony Loke menyentuh keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) secara serentak bagi menjamin persiapan parti lebih tersusun.
Kata Roslan Shahir, Anthony berhujah bahawa ia menjimatkan kos dan memastikan kelancaran proses demokrasi serta keberkesanan strategi politik parti, khususnya dalam Pakatan Harapan (PH).
“Walaupun tempoh Parlimen boleh dilanjutkan sehingga akhir 2027, beberapa negeri seperti Melaka, Johor dan Sarawak akan tamat lebih awal sekitar 2026, yang perlu diambil kira,” ujar Roslan memetik ungkapan Anthony Loke dalam media sosial miliknya.
Selain itu Roslan mendedahkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu pula dijangka tamat tempoh pada 2028.
Menurutnya, cadangan itu boleh dibahaskan jika memberi manfaat kepada rakyat dan negara, namun lebih menarik apabila Anthony Loke turut menyentuh soal pembahagian kerusi parti dalam ‘Kerajaan Perpaduan’.
“Kata (Anthony) Loke prinsip DAP jelas iaitu mana-mana kerusi dimenangi oleh sesebuah parti perlu dikekalkan kepada parti tersebut. Menurut beliau (Anthony Loke), Prinsip ini memang difahami oleh semua pihak.
“Kalau bekerjasama dalam kerangka ‘Kerajaan Perpaduan’, maka tak boleh bertembung antara satu sama lain. Kalau Barisan Nasional (BN) menang, kita tak lawanlah. DAP menang, parti lain tak lawanlah.
“Benarkah prinsip DAP ini difahami semua pihak? Umno fahamkah maksud Loke itu?” soal Roslan menyedarkan Umno terhadap kenyataan Anthony itu.
Menurutnya, jika PRU16 diadakan, BN hanya mampu bertahan di 30 kerusi iaitu Umno (26), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1), manakala kerusi lain seperti Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak, Ampang, Hulu Langat dan Sepang yang pernah dimenangi BN kini sudah beralih kepada PH.
“Begitu juga Pulai, Johor Bahru, Batu Pahat, Sekijang, Sri Gading di Johor, Alor Gajah dan Hang Tuah Jaya di Melaka, Wangsa Maju dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan. Jangan harap PH beri laluan percuma.
“Itu bagi kerusi menang, bagaimana pula dengan kerusi kalah? Adakah PH akan beri laluan pada BN untuk bolot dan bertanding di semua kerusi parlimen milik Perikatan Nasional (PN) tanpa mereka juga menuntut sebahagian besar?
“Di Pagoh contohnya jika Umno mahu bertanding, pasti akan dipintas oleh PKR kerana calon mereka dalam PRU lalu peroleh lebih banyak undi dari calon Umno.
“Mereka lebih ‘winnable’ berdasarkan angka berbanding Umno, mustahil PKR mahu beri laluan,” terang bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Subang itu.
Roslan turut memberi contoh MCA yang mungkin tidak dapat bertanding di Tangga Batu kerana undi PKR lebih tinggi, begitu juga kerusi Kuala Langat, Kapar, Hulu Selangor dan Sungai Besar di Selangor.
Ia tambahnya termasuk, Temerloh, Indera Mahkota dan Kuantan di Pahang, Parit Buntar di Perak, Permatang Pauh di Pulau Pinang, beberapa kerusi di Kedah serta Kota Bharu di Kelantan.
Menurutnya, BN khasnya Umno sukar bangkit kembali jika terus berteduh di bawah PH yang didominasi DAP.
Malah jelasnya, lebih sukar apabila pengundi Melayu sudah menolak Umno dalam PRU15 dan beralih menyokong PAS serta BERSATU atas platform PN kerana mahukan politik penyatuan ummah.
“Malangya jika dahulu mereka berseorangan (PRU 15) pun ditolak pengundi kerana gelombang kebangkitan pengundi Melayu apatah lagi kini apabila seluruh rakyat tahu yang Umno kini rapat berkerjasama dan bersekongkol dengan DAP!
“Fikir-fikirkanlah sahabat, masih belum terlambat untuk membikin jajaran baru. Begitu juga MCA dan MIC renung-renungkanlah. Jika tidak, untung sabut timbul, untung batu tenggelam pupuslah selama-lamanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2025











