Tiga strategi pacu pembangunan Wilayah Utara

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)

- Advertisement -

BALIK PULAU: Kerajaan Negeri Kedah menggariskan tiga strategi khusus untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi memacu pembangunan dan daya saing Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

- Advertisement -

​Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof Dr Haim Hilman Abdullah mengemukakan demikian semasa Sesi Libat Urus RMK13 Zon Utara di Setia Spice Convention Centre, di sini semalam.

​Sesi yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan itu juga melibatkan wakil-wakil kerajaan negeri dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Dr Haim Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berkata, cadangan mewujudkan Zon Ekonomi Khas Kulim (KSEZ) adalah bagi menjadikan pembangunan Kedah dan wilayah utara lebih dinamik.

​“Jika KSEZ ini dapat direalisasikan, ia akan memberi impak besar kepada daya saing negara di peringkat serantau dan antarabangsa, selari dengan kemajuan yang dicapai oleh Pulau Pinang,” jelasnya.

​Selain itu ujarnya, turut dicadangkan adalah menjadikan kawasan penanaman padi Kedah seluas 220,000 hektar sebagai Zon Ekonomi Khas Teknologi Pertanian (AgriTech SEZ).

​“Langkah ini akan memacu transformasi sektor padi negara menjadi sebuah industri berteknologi tinggi yang dilengkapi ekosistem moden, sekali gus menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya.

Menurutnya lagi, pekebun kecil getah di Kedah, Perlis dan Perak perlu diperkasakan agar menjadi pembekal utama lateks kepada syarikat-syarikat pelabur di Bandar Getah Kedah (Kedah Rubber City).

​“Adalah merugikan jika para pekebun kecil tidak mendapat manfaat langsung dari kewujudan kilang-kilang di sana. Justeru, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) wajar menjadi pemacu dalam memberdayakan pekebun kecil getah ini,” tambahnya.

​Beliau berharap usul tersebut diberi pertimbangan serius oleh Kerajaan Persekutuan demi kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri-negeri utara.

​Delegasi Kerajaan Negeri Kedah diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, yang hadir mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

​Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan NGO, Wong Chia Zhen. – HARAKAHDAILY 24/9/2025

- Advertisement -