
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan cuti umum selama dua hari sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan yang jatuh pada 29 dan 30 September ini.
Timbalan Menteri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, cuti berkenaan tidak melibatkan hari Ahad (28 September) kerana ia merupakan hari bekerja sebagaimana biasa di negeri ini.
Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan menjelaskan, bagi sekolah-sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), dibenarkan bercuti pada Ahad.
“Namun perlu membuat permohonan cuti terlebih dahulu dan perlu diganti pada hari Sabtu. Pengarah YIK telah memohon permohonan cuti ganti dari kerajaan.
“Sekiranya ada sekolah yang merasakan perlu untuk cuti, mereka boleh mengemukakan permohonan dan kerajaan negeri melalui YIK akan menimbang serta memberi kelulusan,” katanya pada media selepas mesyuarat Exco di Mabna, di sini hari ini.
Tambahnya, hari Jumaat dan Sabtu adalah cuti hujung minggu di Kelantan, manakala Ahad kekal sebagai hari bekerja dan pegawai kerajaan yang memerlukan cuti pada Ahad itu perlu membuat permohonan cuti seperti biasa.
Beliau berharap penjelasan itu dapat mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat dan warga perkhidmatan awam negeri. – HARAKAHDAILY 24/9/2025











