Persatuan anak negeri ‘rumah kecil’ buat mahasiswa

- Advertisement -

ALOR SETAR: Persatuan mahasiswa anak negeri di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diibaratkan sebagai ‘rumah kecil’ tempat berteduh dan pusat perkembangan bakat bagi anak-anak Kedah yang berada jauh dari kampung halaman.

- Advertisement -

​Presiden Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA), Muhammad Asyraf Anor berkata, persatuan-persatuan ini bukan sahaja menyediakan platform untuk aktiviti bermanfaat, tetapi juga berfungsi sebagai sistem sokongan utama untuk kebajikan para mahasiswa.

​Menurutnya, melalui ‘rumah kecil’ inilah kesinambungan kerja kebajikan dan pembangunan potensi mahasiswa dapat terus dilaksanakan semasa mereka menyambung pengajian.

​“Melalui platform persatuan masing-masing, kita yakin dan percaya persatuan anak negeri kita di kampus-kampus merupakan rumah kecil bagi anak Kedah kita menumpang teduh serta berbuah.

​“Selain daripada itu, ia menjadi mata dan telinga Kerajaan Kedah bagi memastikan kesinambungan kerja kebajikan serta pembangunan bakat bersama MINDA terus terlaksana ketika semester berlangsung,” katanya.

​Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana kepada Persatuan Mahasiswa Anak Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

​Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Haim Hilman Abdullah.

​Sumbangan dana daripada Kerajaan Negeri itu disifatkan sebagai suntikan penting bagi memastikan ‘rumah kecil’ yang melibatkan 20 persatuan mahasiswa anak Kedah di dalam dan luar negara itu dapat terus ‘bernyawa’ dan aktif menjalankan program.

​Muhammad Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri atas penganjuran majlis tersebut yang disifatkan sebagai satu lagi bukti keprihatinan terhadap mahasiswa.

​“Jika sebelum ini kita telah bersua muka dalam majlis pelancaran bakti siswa, alhamdulillah sekali lagi kita dapat bertemu dalam majlis penyerahan dana pada petang ini. Ini menunjukkan mahasiswa betul-betul terisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat,” tambahnya.

​Beliau turut menegaskan komitmen MINDA untuk terus menjadi badan perantara yang menghubungkan Kerajaan Negeri dengan ‘rumah-rumah kecil’ ini bagi memastikan suara dan keperluan mahasiswa sentiasa didengari. – HARAKAHDAILY 24/9/2025

- Advertisement -