ISPB: Kerajaan Perlis lulus tubuh badan pemikir rasmi

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis melangkah setapak ke hadapan apabila meluluskan penubuhan Institut Strategi Perlisku Bestari (ISPB) sebagai sebuah badan pemikir rasmi negeri.

- Advertisement -

ISPB akan bekerjasama rapat dengan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) untuk mendapatkan nasihat daripada pakar dalam pelbagai bidang mengikut keperluan semasa.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Exco yang berlangsung di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, institut tersebut akan berfungsi sebagai ‘think tank’ bagi menyokong dasar dan strategi pembangunan Perlis.

“Institut ini akan bantu BPEN, bekerjasama untuk kita cari dan dapatkan nasihat-nasihat dari pakar-pakar yang kita jemput khusus dalam bidang yang kita perlu. Ia seperti model The Greater Kedah dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, ahli dalam ISPB tidak terikat secara tetap, sebaliknya bergantung kepada bidang kajian yang hendak dilaksanakan.

Kerajaan negeri boleh menjemput pakar daripada pelbagai universiti termasuk UniMAP, UiTM, USM dan mana-mana pihak yang dirasakan relevan.

“Kita boleh jemput siapa sahaja yang kita rasa perlu, Insya-Allah. Institut ini akan menjadi pusat idea bagi meneliti isu-isu pembangunan negeri,” ujar beliau.

Penubuhan ISPB dilihat sebagai langkah penting bagi memperkukuhkan keupayaan pentadbiran negeri dalam merangka dasar berasaskan data, analisis dan kepakaran.

Ia akan menjadi wadah baharu untuk menghubungkan kepakaran akademik, pengalaman profesional serta keperluan pembangunan negeri yang semakin mencabar.

“Dengan tertubuhnya ISPB, Perlis diyakini dapat mempercepatkan pencapaian agenda pembangunan, seiring visi Perlisku Bestari, Berkat dan Lestari,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2025

- Advertisement -