
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum terhadap aduan rakyat berhubung isu pelarasan tarif air yang dilaksanakan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU) berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Zulkifli Ali berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang semalam.
Beliau berkata, mesyuarat menilai semua perkara berkaitan secara menyeluruh dengan mengambil kira keadilan kepada semua pihak, termasuk pengguna dan syarikat pembekal air.
“Isu beban kenaikan kos sara hidup rakyat ekoran pelarasan tarif dan peningkatan kos operasi yang ditanggung oleh SATU adalah antara fokus utama pertimbangan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Menurut beliau, mesyuarat MMKN bersetuju agar SATU membuat penelitian semula dari segenap aspek serta mengemukakan pelan tindakan baharu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.
“Langkah ini penting bagi memastikan segala aduan pengguna yang terkesan dapat disantuni dengan sebaiknya,” katanya.
SATU, sebelum ini mendedahkan sebanyak 580 kilometer paip usang dikenal pasti sebagai kritikal dan perlu diganti segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, daripada keseluruhan 8,600 kilometer jajaran paip, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip asbestos cement (AC) yang telah melepasi jangka hayat.
Menurutnya, kerja-kerja penggantian itu menelan kos besar sehingga RM500 juta dan memerlukan sokongan kerajaan negeri, selain pelarasan tarif air yang telah diperkenalkan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, isu berkenaan turut mendapat perhatian dalam mesyuarat MMKN hari ini.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan, kita mohon supaya SATU membuat kajian semula terhadap kenaikan tarif ini. Insya-Allah akan ada khabar baik. Doakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2025











