Skybridge Bukit Cabang bakal jadi tarikan baharu Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Perlis bakal memiliki satu lagi mercu tarikan pelancongan apabila cadangan pembinaan Skybridge di Bukit Cabang berpotensi direalisasikan tidak lama lagi.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, projek berkenaan diyakini dapat direalisasikan kerana kawasan Bukit Cabang mempunyai keunikan tersendiri selain sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan udara termasuk paragliding.

“Kalau kita lihat kereta kabel di Bukit Cabang kita itu rendah, maka ia perlu ambil seberang Timah Tasoh sebagai tapak. Jadi mungkin kita akan buat seperti lif untuk naik ke atas, kemudian bina jambatan menghubungkan dua Bukit Cabang itu (Skybridge),” jelas beliau.

Menurutnya, jika projek ini dilaksanakan, ia mampu menarik ramai pelancong kerana keindahan panorama Bukit Cabang yang menghadap Tasik Timah Tasoh, selain kawasan tersebut mempunyai kelebihan unik untuk aktiviti paragliding.

“Di Bukit Cabang ini angin sesuai sepanjang masa. Peserta paragliding boleh turun di kedua-dua belah, tidak seperti di Gunung Jerai yang hanya sesuai sebelah sahaja,” katanya.

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang menjelaskan, jika menggunakan konsep kereta kabel sepenuhnya, kos dianggarkan mencecah RM40 juta.

Namun, jika dilaksanakan dengan konsep lif yang naik ke puncak sebelum jambatan dibina menghubungkan bukit, kosnya jauh lebih rendah, sekitar belasan juta sahaja.

“Kita yakin syarikat berkenaan mampu buat. Kalau tengok sejarahnya, mereka ini pernah buat di Gunung Raya, Komtar dan Bukit Bendera. Jadi bila kita tengok pengalaman itu, saya yakin projek ini boleh dilaksanakan,” tambah beliau.

Jelasnya lagi, syarikat dari Kedah itu turut memberi jaminan bahawa projek boleh disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.

“Insya-Allah ia boleh direalisasikan. Kita yakin dengan kemampuan syarikat tersebut kerana mereka sudah ada pengalaman melaksanakan projek besar sebelum ini,” ujar Mohd Shukri.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Skim Kafalah Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Residensi Kediaman Menteri Besar di sini, kelmarin.

Dengan cadangan ini, Perlis berpotensi menambah satu lagi destinasi pelancongan ikonik, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pintu masuk pelancongan utara yang menarik minat pelawat dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 24/9/2025

- Advertisement -