
KUALA TERENGGANU: Syarikat Air Terengganu (SATU) mengenal pasti sepanjang 580 kilometer paip usang di seluruh negeri sebagai kritikal dan perlu diganti segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air kepada rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, daripada 8,600 kilometer jajaran paip yang ada ketika ini, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip AC (asbestos cement) yang telah melepasi jangka hayat.
“Daripada keseluruhan 1,300 paip AC tersebut hampir 580 kilometer di 130 lokasi telah dikenal pasti sebagai paip kritikal dan perlu ditukar segera,” katanya memetik laporan Terengganu Darul Iman (TRDI).
Beliau berkata, kerja-kerja penggantian itu menelan kos besar sehingga RM500 juta dan memerlukan sokongan kerajaan negeri dan SATU selain pelarasan tarif air yang dilaksanakan Ogos lepas.
“Kos ini perlu ditanggung Kerajaan Negeri dan SATU, dan tanpa pelarasan tarif adalah mustahil untuk menampung kos penggantian paip, penyelenggaraan serta operasi harian selepas semua kos bahan meningkat,” katanya.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, untuk tahun ini sahaja, kos penyelenggaraan dianggarkan sekitar RM50 juta, manakala hampir 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi melibatkan kos tenaga elektrik, iaitu sekitar RM70 hingga RM80 juta setahun.
“Kenaikan tarif elektrik bermula Julai 2025 serta peluasan skop SST (cukai jualan dan perkhidmatan) lapan peratus telah menambah kira-kira 10 peratus dan lapan peratus kepada kos operasi SATU,” jelasnya.
Namun begitu Abdul Karim berkata, kebajikan rakyat tidak diabaikan yang mana SATU masih menyalurkan subsidi air bernilai lebih RM2 juta setahun, termasuk bekalan percuma kepada 2,152 masjid dan surau.
“Langkah ini menjadikan Terengganu adalah negeri di Malaysia yang menyediakan subsidi air percuma melalui syarikat air negeri kepada institusi agama,” katanya.
Menurutnya lagi, SATU telah melaksanakan pelbagai pelaburan besar bagi menyelesaikan isu bekalan air di beberapa daerah.
“Sebagai contoh, di Marang sahaja SATU membelanjakan RM64 juta untuk mengatasi masalah tekanan rendah dan ketiadaan air, dan alhamdulillah banyak masalah telah berjaya diselesaikan terutama ketika musim perayaan dan cuti umum,” ujarnya.
Jelas SATU lagi, pihaknya memahami kebimbangan pengguna berhubung bil air, sehubungan dengan itu Abdul Karim memohon rakyat agar membuat semakan atau pertanyaan bagi sebarang kemusykilan kepada pihaknya. – HARAKAHDAILY 24/9/2025











