TMK rasmi Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut

- Advertisement -

TUMPAT: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan merasmikan Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan serta Karnival Kebangsaan Perhutanan Sosial 2025 yang berlangsung di Padang Kemahkotaan di sini.

- Advertisement -

Penganjuran sambutan itu menzahirkan komitmen kerajaan terhadap usaha pemuliharaan hutan paya laut negara.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan melancarkan buku mewah bertajuk Mangrovers: Beyond The Treasures serta menanam sepohon pokok paya bakau sebagai simbolik.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapannya menegaskan kepentingan program itu sebagai wadah memperkukuh kesedaran rakyat terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Keprihatinan dan kecaknaan terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar, khususnya ekosistem hutan paya laut yang amat penting dalam mengekalkan keseimbangan biodiversiti serta kelestarian alam bagi generasi akan datang.

“Semoga penganjuran program ini terus memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar demi kesejahteraan Negeri Kelantan dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sejak tahun 2006, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM71 juta bagi melaksanakan aktiviti penanaman dan penyelenggaraan pokok bakau serta spesies sesuai di seluruh negara.

Peruntukan itu turut merangkumi aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pemantauan, selain program pengembangan dan kesedaran awam.

Sehingga September tahun ini, seluas 3,820 hektar kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai berjaya dipulihara dengan lebih 9 juta pokok bakau serta spesies sesuai ditanam di sepanjang pesisir negara.

Inisiatif berkenaan menekankan kepentingan ekosistem hutan paya laut sebagai benteng semula jadi mengurangkan hakisan, selain menjadi sumber ekonomi kepada masyarakat pesisir. – HARAKAHDAILY 23/9/2025

- Advertisement -