Ulama, umara teraju Perlis, sedia hadapi PRU16

- Advertisement -

MUKTAMAR Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke-71 yang melabuhkan tirainya minggu lalu mencatatkan beberapa perkembangan penting khususnya melibatkan saf kepimpinan PAS Negeri Perlis sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Antara keputusan utama, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Ahmad Ali diberi mandat sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis yang baharu.

Pelantikan ini dilihat sebagai usaha menyusun langkah dan memperkasakan jentera parti di negeri terkecil itu agar lebih mantap dan bersedia menghadapi cabaran PRU16.

Selain itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, suatu pengiktirafan terhadap prestasi kepimpinannya dalam mentadbir negeri.

Langkah ini sekali gus membolehkan beliau menyumbang secara lebih langsung dalam saf kepimpinan tertinggi parti di peringkat nasional.

Menariknya, Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, turut dipilih sebagai AJK PAS Pusat hasil sokongan perwakilan muktamar.

Ini mencerminkan demokrasi yang subur dalam PAS, di mana kepelbagaian pengalaman dan pengaruh politik turut diiktiraf demi kekuatan bersama.

Perkembangan di Perlis ini sekali gus melengkapkan persiapan PAS di bawah kerangka mempertahankan empat negeri yang diterajui PN-PAS iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4).

Negeri-negeri ini dianggap sebagai pangkalan penting dalam strategi menghadapi PRU16, dengan Perlis kini diposisikan dalam saf kepimpinan pusat yang lebih bersepadu.

Langkah tersebut, menurut pemerhati politik, pastinya mencetuskan keresahan di pihak lawan yang kini berkuasa di Putrajaya.

Pelantikan dan strategi baharu ini merupakan hasil mesyuarat pertama saf kepimpinan PAS Pusat selepas berakhirnya muktamar.

Sebelum ini dalam ucapan penangguhannya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pelantikan kepimpinan negeri, termasuk pesuruhjaya, menteri besar dan calon pilihan raya, diputuskan PAS Pusat selepas meneliti pandangan pelbagai pihak.

“Pusat melihat dengan cara yang menyeluruh, bukan satu aspek sahaja. Rasulullah SAW bersabda, dengar dan taat bila ditentukan pemimpin walaupun seorang hamba berkulit hitam yang kerinting rambutnya dilantik ketua, maka taatlah,” tegas beliau.

Tuan Guru turut menekankan bahawa pendekatan Islam mengajar umat untuk memberi wala’ kepada pemimpin walaupun ada kelemahan.

Baginda Nabi SAW sendiri mengekalkan raja-raja yang memeluk Islam di Muscat, Oman, Habsyah dan Yaman untuk terus memimpin dengan bimbingan ulama.

Beliau juga memetik firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 55 dan 56 yang menegaskan bahawa wali dan pemimpin yang wajib ditaati ialah Allah, Rasul dan orang-orang beriman yang menunaikan solat, zakat serta tunduk kepada Allah.

Ayat tersebut memberi jaminan bahawa kumpulan yang berpegang kepada perjuangan Islam akan dijanjikan kemenangan.

Dengan saf kepimpinan yang lengkap, Tuan Guru Ahmad Ali sebagai Pesuruhjaya Negeri, Mohd Shukri Ramli dan Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dalam AJK Pusat, PAS Perlis kini berada pada kedudukan lebih kukuh untuk memimpin gerakan politik menjelang PRU16.

Kekuatan ini bukan sahaja menambah keyakinan akar umbi, bahkan diyakini mampu memperkukuh pengaruh PAS dalam blok PN di peringkat pusat, seterusnya melakar strategi besar bagi mengekalkan momentum kemenangan. – HARAKAHDAILY 23/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -