
ALLAH menciptakan Adam dan Hawa serta meletakkan mereka di dunia sehingga lahirnya ramai umat manusia atas 3 sebab iaitu untuk beribadah kepadaNya, untuk menjadi khalifah dan memberi ujian bagi mengukur keikhlasan dan ketaatan manusia.Ini dibuktikan dalam 3 ayat al quran di bawah:
Surah Adz- Dzariyat: 56 Allah telah berfirman yang bermaksud “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”
Surah Al-Baqarah: 30 Allah berfirman yang bermaksud “Dan ingatlah Ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat ‘ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…”
Surah Al-Mulk: 2 “Allah yang menciptakan hidup dan mati untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang baik amalannya…”
Perbuatan beribadah yang dimaksudkan dalam konteks ayat di atas bukanlah semata-mata ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat, bersedekah, menunaikan haji tetapi terangkum di dalamnya ibadah umum seperti menolong orang, mengajarkan ilmu bermanfaat, menjaga kebersihan dan lain-lain perkara yang dilakukan dalam hidup seharian. Ini dikuatkan lagi dengan ayat kedua mengenai dijadikan manusia untuk menjadi khalifah. Dalam konteks al-Quran khalifah bermaksud mengurus, menjaga dan memakmurkan bumi mengikut syariat Allah dengan menegakkan keadilan, menghindari kerosakan dan memastikan kesejahteraan makhluk lain sebagai satu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Sebagai seorang yang ada kerjaya dan lebih 50 peratus atau mungkin ada yang lebih 90 peratus hidupnya dimanfaatkan untuk kerjaya, adakah kita boleh mencapai maksud tujuan hidup untuk beribadah dan menjadi khalifah seperti yang termaktub dalam al-Quran? Dan bagi kita yang menjurus dalam bidang sains seperti doktor, jurutera dan arkitek adakah kita mampu beribadah dan menjadi khalifah dalam kerjaya kita? Adakah mereka para asatizah yang hanya mengajar agama lebih baik dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda berbanding mereka yang belajar sains sedangkan semua ilmu ini datang daripada Allah.
Mari kita lihat dahulu apa itu ilmu dan tujuan ilmu. Ilmu adalah rangkaian pengetahuan yang membolehkan seseorang mengenali antara benar dan salah serta mendorongnya memilih antara yang benar dan salah. Objektif ilmu adalah untuk menerbitkan rasa takut kepada Allah.
Firman Allah dalam surah Al-Fatir ayat 28 “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut melanggar perintah Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”
Sumber-sumber ilmu adalah termasuk daripada wahyu (al-Quran), akal (rasional) dan qalbu (emosi) serta pancaindera. Daripada semua sumber ini ilmu yang bersumberkan al-Quran yang paling sahih kerana adanya sumber yang pasti. Ayat-ayat dalam al-Quran adalah untuk menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah termasuklah ayat-ayat mengenai sains (ayat kauniyah).
Surah Al-Imaran: 190 “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.”
Surah Al-Mukminun: 12-14 “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah …”
Surah As-Shura: 32 “Dan di antara tanda-tandaNya ialah kapal-kapal yang berlayar di laut seperti gunung -ganang.”
(Ringkasnya ayat-ayat kauniyah ini adalah ayat mengenai alam dan kejadian makhluk yang dapat mengajak manusia berfikir, merenung dan menambah ilmu termasuk membuat kajian sains).
Kita boleh fahami ilmu agama akan membawa kepada mengenali, mengagungkan dan akhirnya takut untuk mengingkariNya. Bagaimana ilmu yang lain seperti ilmu sains dan ilmu matematik, adakah tiada kaitan dengan Allah malah menjauhkan lagi diri orang yang belajar daripada mengesakan Allah?Bagaimana ilmuan-ilmuan Islam pada zaman kegemilangan Islam di pusat ilmu di Baghdad, Andalusia, Kaherah dan Cordoba pada abad ke 8 hingga abad 13M seperti Al-Zahrawi (bapa pembedahan moden), Ibn Sina (bapa perubatan moden), Al-Razi (Pakar perubatan dan kimia), Al-Khawarizmi (bapa algebra) dan Al-Biruni (Ahli astronomi, geografi dan fizik) bukan sahaja miliki pelbagai jenis kepakaran tetapi mereka juga menghafal al-quran, menguasai ilmu fiqh dan ilmu hadis.
Ini adalah hasil sekularisasi ilmu yang dipelopori oleh orientalis Barat. Sekular adalah sebahagian iedologi liberal – kebebasan. Membebaskan semua jenis ilmu daripada agama. Hasil daripada kongkongan gereja yang mempelopori agama dalam bentuk tahyul (zaman kegelapan) kepada masyarakat Barat menyebabkan mereka bangkit (zaman Reinassance) untuk membebaskan diri mereka dengan belajar daripada ilmuan-ilmuan Islam. Malangnya mereka hanya mengambil ilmu dan meninggalkan falsafah agama islam dengan mengambil falsafah Yunani.
Termasuk dalam agenda mereka adalah usaha untuk melahirkan orang Islam yang lemah dan jumud iaitu dengan memisahkan agama dan ilmu-ilmu lain. Maka terhasillah orang Islam yang sekular. Agama hanya untuk ibadat-ibadat khusus dan terhad di masjid atau surau. Pendidikan, pekerjaan dan kegiatan seharian yang bukan ibadat khusus dipisahkan daripada agama. Natijahnya ada orang Islam yang berfikiran terus seperti orang Barat (dan terlihat seperti orang Barat) dan ada orang Islam yang jumud dengan terus menolak sains dan kemodenan. Golongan ini terlihat islamik tetapi dipandang mundur dan jumud.
Sebagai contoh seorang doktor yang telah belajar sains daripada zaman sekolah hinggalah ke universiti. Walaupun ada di antara mereka yang datangnya dari sekolah aliran agama namun ilmu tersebut dipisahkan. Dalam subjek yang diajar tidak dikaitkan dengan kekuasaan dan ciptaan Allah kecuali segelintir guru yang ada kesedaran.walaupun telah belajar dengan mendalam tentang anatomi dan fisiologi tubuh badan yang sangat kompleks ianya tidak dikaitkan secara langsung dengan ciptaan Allah. Kalaupun ada yang cuba mengaitkannya tetapi tiada pengetahuan yamg mendalam bahawasanya terdapat ayat-ayat al quran yang menceritakan tentang sains ini lebih lama sebelum perubatan moden diperkenalkan.
Natijahnya apabila berjaya merawat pesakit hanya dikaitkan dengan sains melalui buku-buku sains dan ‘evidence best medicine’. Mungkin ada yang menganggap evidence best medicine lebih superior daripada al-Quran dan sunnah? Kalau mendalami sains itu membawa kepada takutkan Allah tidak akan timbul doktor yang mendabik dada dan bongkak,semua doktor sepatutnya hanya ada sifat-sifat mahmudah dan menjadi seorang yang abid. Malah mungkin ramai doktor bukan muslim akan memeluk islam setelah mempelajari ilmu kedoktoran dengan mendalam.
Di sisi lain kita ada orang Islam yang terus menolak sains dan hanya mempelajari bidang agama. Sains dianggap sesat dan haram. Akibatnya umat Islam terlihat mundur dan terkebelakang. Dari sinilah timbulnya anti vaksin dan mereka yang mengamalkan perubatan tradisional secara melampau tanpa percaya kepada perubatan moden. Keadaan ini sangat merugikan umat islam kerana boleh mengganggu tahap kesihatan dan keselamatan mereka.
Sudah tiba masanya untuk mengintegrasikan ilmu agama dan ilmu-ilmu yang lain. Bukan sahaja melahirkan saintis, doktor, jurutera, pakar matematik, pakar angkasa yang hafal al-Quran tetapi ada kefahaman yang mendalam mengenai ilmu al-Quran itu sendiri. Barulah kita dapat mengaplikasikan tujuan ilmu tersebut iaitu untuk mencapai rasa takut kepada Allah.
DR NOR HAFIZAH MOHD SALLEH
Muslimat Profesional (MPro)
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/9/2025











