PAS diyakini mampu pimpin negara dengan dasar Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Jawatankusa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-71 yang baru berakhir sebagai isyarat jelas keyakinan rakyat terhadap kemampuan PAS memimpin negara berteraskan Islam.

- Advertisement -

Beliau berkata, muktamar kali ini penuh tertib dan harmoni dengan pemilihan serta pelantikan saf kepimpinan sesi 2025–2027 meninggalkan mesej padu bahawa PAS bersedia mengambil mandat rakyat.

“Buat pertama kali dalam sejarah, muktamar PAS menjadi tarikan umum dan mendapat perhatian hebat dari pelbagai pihak. Jelas pengaruh PAS terserlah dalam landskap politik masa kini,” ujarnya.

Menurut beliau, meskipun terdapat beberapa reaksi daripada perwakilan terhadap isu luaran, fokus utama tetap tidak lari daripada ucapan dasar Presiden dan taujihat melalui ucapan penangguhan.

Beliau menegaskan, PAS mengambil pendekatan cermat dan bijaksana tanpa dilambung emosi, malah peringatan Presiden agar tidak ghairah dengan jawatan adalah petunjuk penting supaya perjuangan tidak tersungkur.

“Fokus PAS adalah menggapai kemenangan dengan mendahulukan penyatuan orang Melayu dan umat Islam tanpa meminggirkan kaum serta agama lain malah PAS menegaskan hak kebebasan beragama bagi bukan Islam tetap terpelihara jika berkuasa,” katanya.

Annuar juga melihat PAS memperagakan politik matang dengan terus komited kepada muafakat politik melalui taawun dan taayush bersama Perikatan Nasional.

Pada masa sama, jelasnya, PAS mengamalkan prinsip kesederhanaan dan keterbukaan bekerjasama dengan semua pihak yang tidak ekstrem, sekali gus menolak perkauman dan sikap melampau.

Menyentuh mesyuarat agung tahunan BERSATU, beliau yakin meskipun terdapat sedikit kemelut dalaman, parti itu tetap akan bertambah kukuh dengan sikap terbuka kepimpinannya.

“Pasca muktamar PAS dan mesyuarat agung parti utama dalam Perikatan Nasional, kita menjangkakan akan lahir satu muafakat politik lebih besar dan matang.

“PRU16 bakal menyaksikan permuafakatan nasional kukuh yang menamatkan ketidakstabilan politik berpanjangan,” jelas beliau yang pernah menjadi Setiausaha Agung Umno itu.

Katanya, negara perlu kembali kepada formula kebangsaan berteraskan kelompok teras iaitu orang Melayu dan umat Islam tanpa mengetepikan kaum lain yang mendukung Perlembagaan serta asas pembinaan negara bangsa dengan Islam sebagai agama Persekutuan. – HARAKAHDAILY 23/9/2025

- Advertisement -