
KUBANG KERIAN: Sebanyak 12 pasukan bakal berentap bagi merebut Piala Ahli Parlimen Kubang Kerian sempena kejohanan bola sepak yang diadakan bagi edisi keempat sejak mula dianjurkan pada tahun 2022.
Ahli Parlimennya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Kubang Kerian merupakan satu-satunya kawasan Parlimen yang mampu mengadakan kejohanan tersebut ketika peruntukkan wakil rakyat disekat.
Beliau berkata, kejohanan tersebut bertujuan untuk meneruskan kesinambungan dan kejayaan dalam saingan Liga Elit DUN (LED) dan Piala Menteri Besar untuk mewakili DUN masing-masing, Pasir Tumboh, Demit dan Salor.
“Alhamdulillah kita antara parlimen yang setiap tahun kita anjurkan kejohanan bola sepak, Kubang Kerian sahaja. Kawasan-kawasan parlimen lain nampaknya hanya berlaku di peringkat DUN sahaja, tidak di parlimen.
“Tidak mungkin kita mampu menjayakan sesuatu program kejohanan tanpa adanya sokongan, kerjasama dan penaja pada setiap kali kita menganjurkan ini kosnya agak besar juga termasuk sepanjang kejohanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Kejohanan Bola Sepak Piala Ahli Parlimen Kubang Kerian 2025 diadakan di Rumantara Hall, Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh, di sini malam kelmarin.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus; ADUN Salor, Saizol Ismail dan Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Mohamad Nuri Mat Yaacob.
Pada majlis itu juga diadakan majlis penyerahan jersi dan pengundian kumpulan bakal berentap di kejohanan yang mewakili tiga pasukan masing-masing mewakili tiga DUN dan Parlimen dalam Kubang Kerian.
Timbalan Presiden PAS itu turut mengzahirkan perasaan terharu terhadap kerjasama dan sokongan sangat baik daripada rakan penaja yang diberikan sedikit keuntungan dalam perusahaan dilakukan.
Beliau berkata, tanpa sokongan agensi swasta dan juga negeri, tidak mungkin pihaknya dapat menganjurkan acara tahunan itu yang membabitkan perbelanjaan besar sepanjang kejohanan itu berlangsung.
“Kerajaan hari ini, (kepada) ahli parlimen pembangkang langsung tidak diberikan sebarang peruntukan walaupun pelbagai rundingan dibuat sehingga hari ini pembangkang tidak diberi peruntukkan juga oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2025





















