Tanah Rizab Melayu: Negeri luas, pegangan kecil?

- Advertisement -

KUANTAN: Pengerusi Lajnah Tanah Peneroka dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Khairul Izwan Ghazali menyifatkan keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri itu masih terlalu kecil berbanding keluasan sebenar negeri.

Beliau berkata, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah memaklumkan bahawa keluasan TRM di negeri itu hanyalah 444,074 hektar, bersamaan 12.34 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri Pahang yang mencecah 3.59 juta hektar.

“Sekilas pandang, angka ini mungkin kelihatan besar, apatah lagi jika dibandingkan dengan catatan tahun 1955 yang hanya merekodkan 218,326 hektar (6 peratus).

“Namun, apabila diletakkan dalam konteks semasa dan dibandingkan dengan negeri-negeri lain, hakikatnya Pahang masih jauh ketinggalan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Pahang merupakan negeri paling luas di Semenanjung Malaysia, tetapi jumlah TRM di negeri itu hanya sekitar 444,000 hektar, angka terlalu kecil jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang lebih kecil dari segi keluasan.

“Kelantan, lebih 1.3 juta hektar TRM. Perak antara negeri tertinggi dengan ratusan ribu hektar TRM. Kedah jauh melebihi Pahang walaupun negeri itu jauh lebih kecil,” dedahnya.

Beliau berkata, lebih mengejutkan, Pahang yang sering digambarkan sebagai ‘negeri Melayu tradisi’ dan memiliki kawasan tanah sangat luas, hanya mampu mencatatkan kadar TRM di bawah paras sepatutnya.

Khairul Izwan menjelaskan bahawa, isu ketirisan ini bukan perkara baharu apabila TRM ‘terlepas’ kepada pihak bukan Melayu melalui pelbagai mekanisme, sama ada secara jual beli atau projek pembangunan yang diselindungi dengan alasan kepentingan awam.

“Lebih malang, setiap kali berlaku penggantian TRM yang diambil untuk tujuan pembangunan, tanah gantian yang disediakan kerajaan tidak setara dari segi nilai mahupun lokasi.

“Ini menyebabkan jumlah TRM kelihatan kekal ‘bertambah’ di atas kertas, tetapi hakikatnya nilai sebenar semakin merosot,” kesali beliau.

Dalam konteks itu, menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang wajar dipersoalkan mengapa negeri yang begitu luas gagal mengekalkan atau menambah jumlah TRM pada tahap sepatutnya.

“Mengapa negeri seperti Kelantan dan Kedah, yang jauh lebih kecil mampu mencatatkan angka rizab yang lebih tinggi, sedangkan Pahang yang memiliki tanah melimpah-ruah masih terkebelakang?

“Kegagalan ini jelas menunjukkan kelemahan perancangan kerajaan negeri Pahang di bawah pentadbiran Dato’ Sri Wan Rosdy.

“Malah, ia menimbulkan persoalan besar, adakah TRM di Pahang benar-benar diurus dengan amanah dan berpandukan semangat asal pewartaan tanah ini, iaitu untuk melindungi kepentingan orang Melayu?” soalnya.

Beliau berkata, jika trend itu berterusan, masa depan tanah rizab di Pahang akan terus mengecil dari segi nilai dan kedudukan, menyebabkan golongan muda Melayu terus kehilangan pegangan tanah sedangkan ia merupakan warisan paling penting untuk survival ekonomi bangsa.

“Kerajaan Pahang tidak boleh lagi berselindung di sebalik angka ‘peningkatan peratusan’ sejak 1955. Hakikatnya, dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Pahang adalah negeri yang gagal dalam menjaga Tanah Rizab Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -