
KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, apabila diumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter, ramai menjangkakan rakyat akan menyambutnya dengan sorakan kegembiraan, namun reaksi rakyat kelihatan sederhana.
Ketua Potfolio Ekonomi Perikatan Nasional itu berkata, secara keseluruhan rakyat menyambut pengumuman ‘populis’ itu dengan penuh berhati-hati kerana perubahan harga di stesen minyak tidak menutup permasalahan lebih besar.
Jelas beliau, ia tidak menutup permasalahan kos sara hidup yang kian menekan, kuasa beli yang semakin terhakis dan reformasi fiskal yang masih ‘tempang’ di era Madani khususnya dalam aspek ketelusan dan konsistensi pelaksanaan.
Syahir menyifatkan reaksi itu sebagai mencerminkan kematangan rakyat dalam menilai dasar kerajaan secara lebih menyeluruh kerana petrol hanyalah sebahagian daripada rantaian kos sara hidup.
Terang Ahli Parlimen Bachok itu, penurunan harga di stesen minyak tidak serta-merta mengurangkan bayaran di pasar, kedai runcit, kedai makan ataupun hospital.
“Faktor lain seperti harga diesel, kos bahan mentah dan kos upah terus memberi tekanan kepada harga barangan, makanan, dan perkhidmatan. Fenomena inflasi ‘tolakan-kos’ ini sukar dikawal hanya dengan subsidi petrol.
“Bahkan jelas masih belum ditangani secara menyeluruh oleh PMX (Perdana Menteri ke-10) dalam kerangka ekonomi ‘MahalDahNi’, yang akhirnya terus menekan kuasa beli rakyat,” ujarnya dalam kenyataan.
Tiada had pendapatan, tetapi penggunaan dihadkan
Syahir berkata, struktur subsidi baharu turut menimbulkan persoalan apabila BUDI95 tidak mengenakan had pendapatan, T15 mahupun B85, sebaliknya hanya menetapkan had penggunaan 300 liter sebulan.
Ia kupasnya, tanpa mengambil kira variasi sebenar keperluan rakyat sama ada keluarga besar atau kecil, jenis kenderaan, jarak ulang-alik tempat kerja dan perjalanan pulang ke kampung.
“Ringkasnya, subsidi yang dikatakan bersasar kelihatan sedikit tersasar,” tempelak beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.
BUDI menggantikan PADU
Menurutnya, Bantuan Subsidi Madani (BUDI) menggantikan Pangkalan Data Utama (PADU) apabila rakyat tidak lagi perlu mendaftar, sekali gus menunjukkan PADU gagal mencapai objektifnya dan membazirkan sumber serta tenaga di pihak kerajaan.
“Dalam masa yang sama, dua aspek penting masih menjadi keraguan iaitu kecekapan penggunaan dan keselamatan data pengguna. Pelaksanaan BUDI95 bergantung sepenuhnya kepada pengesahan melalui MyKad.
“Hal ini berpotensi menimbulkan kerumitan di stesen minyak. (Ia) termasuk proses verifikasi yang lebih panjang, selain membuka persoalan tentang integriti sistem dan perlindungan maklumat peribadi.
“Rakyat perlu diyakinkan bahawa data mereka diurus secara telus, tidak disalahgunakan dan dilindungi dengan tahap keselamatan siber yang tinggi,” gesa beliau.
Saranan
“Saranan saya, jernihkan di huluan (upstream), maka jernihlah di hiliran (downstream); supaya ekonomi beroleh keberkatan, hak royalti ditunaikan. Supaya ekonomi beroleh kemakmuran, hak subsidi diagihkan.
“Berbalik kepada harga RM1.99 seliter, rakyat menuntut kepastian terhadap dua persoalan pokok berikut, berapakah anggaran penjimatan subsidi di pihak kerajaan, dan ke manakah penjimatan ini akan disalurkan?
“Dan soalan tambahan daripada Pak Mat dan Uncle Lim, berapa lama harga RM1.99 ini mampu bertahan?
“Sehingga bertemu lagi dalam ‘pengumuman’ yang akan datang,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 23/9/2025











