
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengumumkan senarai penuh Jawatankuasa Harian bagi sesi 2025–2027 susulan Muktamar Tahunan Pemuda PAS seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerjanya kali pertama pada hari ini.
Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Muhd Khidhir Datuk Dr Izaidin dalam kenyataannya menyenaraikan keputusan mesyuarat melantik Ustaz Mohd Abdul Hadi Mohd Ghazali dan Saiful Mujahid Mohd Fadzil masing-masing sebagai Penolong Setiausaha I dan II.
Jawatan Bendahari menyaksikan kekal disandang oleh Muhammad Afiq Mazlan, begitu juga Ketua Penerangan oleh Khairul Nadzir Helmi Azhar, manakala Pengarah Pilihan Raya ditampilkan muka baharu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi.
“Dengan semangat “Kembali Kepada Penyelesaian Islam, Terus Memimpin”, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan terus memacu peranan sebagai saf hadapan perjuangan, mendepani cabaran politik semasa dan memimpin agenda anak muda serta rakyat seluruhnya,”
Pada pemilihan muktamar dewan itu pada 11 dan 12 September minggu lalu di Alor Setar menyaksikan jawatan tertinggi Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Pemuda kekal kepada penyandang sesi sebelumnya.
Mereka ialah Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden, Ustaz Mohd Hafez Sabri dan Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin. – HARAKAHDAILY 22/9/2025











