Bas.My dijangka lonjak taraf hidup rakyat Terengganu

(Dari kiri) Fuad, Amzad, Loke, Samsuri dan Hanafiah pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (Bas.My) Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yakin pelaksanaan program transformasi perkhidmatan bas berhenti-henti Bas.My Kuala Terengganu mampu memberi pulangan sosial dan ekonomi lebih baik kepada negeri serta rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata, pendekatan bersepadu dan berfokus itu diharap dapat menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama penduduk, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kemakmuran negeri.

“Besar harapan saya agar perkhidmatan Bas.My Kuala Terengganu dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh penduduk, para mahasiswa, mahasiswi, pelajar sekolah serta rakyat secara amnya.

“Seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kemakmuran di negeri Terengganu ini. Insya-Allah,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan di Ruang Legar Pasar Kedai Payang di sini semalam.

Majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Mohd Azmi Mohamad Daham serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat.

Juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dr Nor Fuad Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat, Datuk Azlan Shah Al-Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation, Yahya Sani.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman, inisiatif dilaksanakan tersebut adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri itu memberi penekanan kepada kebolehharapan, ketersediaan dan ketepatan masa.

Empat laluan baharu yang diperkenalkan menjadikan keseluruhan lapan laluan merangkumi empat pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus mengukuhkan jaringan hubungan kawasan bandar dan luar bandar. – HARAKAHDAILY 23/9/2025

- Advertisement -