
KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyeru agar budaya pembelajaran sepanjang hayat mesti disemai dalam diri setiap graduan bagi menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah dan penuh persaingan.
Katanya, kejayaan akademik tidak seharusnya dianggap berakhir dengan segulung ijazah, sebaliknya perlu diteruskan dengan usaha menambah ilmu, menguasai kemahiran baharu termasuk dalam bidang keusahawanan.
“Budaya pembelajaran sepanjang hayat perlu disemai dalam diri kerana pembelajaran tidak berakhir hanya dengan segulung ijazah,” katanya ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kali Ke-25 di Dewan Johor, Nilam Puri.
Beliau menyeru menggunakan setiap peluang untuk menambah ilmu, menguasai kemahiran baharu, termasuk dalam bidang keusahawanan kerana itulah kunci untuk menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah serta penuh persaingan.
Menurutnya, kejayaan yang dilakar pada hari tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan ibu bapa dan keluarga, malah turut menjadi kebanggaan seluruh rakyat Kelantan.
Nassuruddin berkata, kerajaan negeri akan terus memimpin hala tuju pembangunan KIAS dengan memperkukuh kualiti pengajaran, memperluas bidang penyelidikan serta meningkatkan jaringan kerjasama akademik di dalam dan luar negara.
“Pembangunan infrastruktur, penambahan tenaga akademik berkepakaran dan penambahbaikan sistem pentadbiran turut menjadi agenda utama.
“Semoga KIAS terus melangkah ke tahap yang lebih tinggi, diiktiraf sebagai universiti penuh yang berwibawa, berdaya saing di peringkat antarabangsa, dan mampu duduk sebaris dengan institusi pengajian tinggi terkemuka lain,” ujarnya lagi.
Pada majlis penuh bermakna itu, seramai 128 graduan diraikan dan menerima diploma serta ijazah masing-masing. – HARAKAHDAILY 23/9/2025




















