Dakwaan pengunjung Langkawi merosot 39 peratus tak berpijak di bumi nyata

- Advertisement -

DAKWAAN kononnya Langkawi menghadapi kemerosotan pengunjung sehingga 39 peratus, disangkal banyak pihak termasuk media tempatan dan pihak pengurusan pelancongan di pulau itu sendiri.

- Advertisement -

Banyak media tempatan bangun, menyangkal dakwaan agak meleset serta tidak berasas itu, dengan berpandukan maklumat yang sahih dari agensi berkaitan.

Dakwaan itu bukan sahaja mengelirukan, sebaliknya menjadi tanda tanya dan melucukan apabila dakwaan serta sangkalan dibuat oleh agensi media tempatan yang sama.

Adalah tidak berasas, kononnya kemerosotan pengunjung ke Pulau Lagenda itu disabitkan masalah pengangkutan feri yang tidak berkesudahan, termasuk tambang kapal terbang didakwa mencecah ribuan ringgit untuk kos dua hala, pergi dan balik.

Sedangkan, menurut data rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sehingga Ogos 2025, Langkawi mencatatkan kehadiran sehingga 2,018,153  pelancong iaitu 2.64 peratus berbanding 1,964,814  dalam tempoh sama tahun lalu.

Malah bagi tempoh 1 hingga 16 September, Terminal Feri Kuah mencatatkan peningkatan kehadiran pengunjung sebanyak 22.43 peratus, sementara, Pelabuhan Langkawi melonjak hingga ke 27.86 peratus.

Ketibaan pelancong melalui penerbangan domestik meningkat ke 10 peratus, manakala penerbangan antarabangsa pula meningkat 23 peratus.

Dikatakan pelancong gemar ke negara jiran, Thailand, khususnya di Hadyai yang ura-ura kosnya lebih murah, namun ia langsung tidak menjejas kehadiran pengunjung ke Pulau Lagenda itu.

Kerana secara umum, setiap individu itu memberi cita rasa berbeza atau ingin mengalami pengalaman baharu.

Walaupun pelancongan ini merupakan tanggungjawab di bawah Kerajaan Persekutuan, namun dakwaan tidak berasas itu sedikit sebanyak memberi imej kurang baik kepada negeri Kedah ditadbir Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai Menteri Besar.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Usahawan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin, kenyataan seumpama itu sebenarnya merugikan semua pihak, negeri, negara dan Langkawi sendiri.

“Agak mendukacitakan kerana kenyataan seperti ini dibuat, dan berita mengenainya disebarkan semasa negara sedang meraikan Hari Malaysia. Ia memberikan imej negatif serta tidak benar, jelas bertentangan dengan semangat Hari Malaysia itu sendiri.

“Ia bukan sahaja tentang Pulau Langkawi, tetapi juga mana-mana juga destinasi kerana maklumat yang salah akan membawa kepada timbulnya gambaran negatif, sekali gus memberi kesan terhadap sektor pelancongan negara,” tegasnya lagi.

Beliau juga berharap mana-mana pihak yang ingin mengeluarkan kenyataan, perlu memastikan maklumat diperolehi benar-benar tepat sebelum menghebahkannya kepada khalayak.

“Yang rugi bukan hanya Pulau Langkawi, bukan hanya Kedah, tetapi negara ini secara keseluruhannya,” kata beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu juga menzahirkan penghargaan kepada pengamal dan agenda media yang tampil melaporkan situasi sebenar dan menyangkal dakwaan tidak berasas itu.

Dato’ Salleh sebelum ini juga telah memaklumkan, bermula cuti persekolahan pada 11 dan 12 September lalu, aliran kemasukan pelancong ke Langkawi telah menampakkan peningkatan.

Perkara itu katanya, berdasarkan maklumat agen-agen pelancongan, pengusaha penginapan dan perkhidmatan kereta sewa.

Malah maklumat tersebut ujar beliau, disokong melalui maklum balas kepadanya oleh Konsortium Ferry Line Ventures yang menyediakan perkhidmatan feri Kuala Kedah–Langkawi dan Kuala Perlis–Langkawi.

“Dari maklumat yang saya perolehi 100,000 pelancong dari dalam dan luar negara memasuki Langkawi dengan feri sepanjang tempoh itu dan pihak pengusaha feri terpaksa menyediakan 118 trip tambahan bagi menampung permintaan yang tinggi,” jelasnya lagi.

Semua ini katanya, membuktikan usaha untuk menggemilangkan lagi Langkawi melalui Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 menampakkan hasil.

“Di Tanah Besar Kedah juga ‘vibes’, TMK 2025 dapat dirasa sepanjang musim cuti kali ini apabila destinasi pelancongan utama terus menjadi tumpuan walaupun keadaan cuaca tidak menentu,” tambahnya lagi. HARAKAHDAILY 23/9/2025

- Advertisement -