
KOTA BHARU: Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan telah mengadakan mesyuarat khas dan bersetuju dengan cadangan pelantikan Jawatankuasa Harian PAS Negeri Kelantan bagi sesi 2025-2027.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ustaz Ahmad Yakob memaklumkan perkara tersebut termasuk menerusi satu kenyataan yang telah dikeluarkan beliau, di sini hari ini.
“Bagi jawatan Pesuruhjaya PAS Kelantan saya sendiri telah diberi amanah untuk terus memimpin, manakala Timbalan Pesuruhjaya I ialah Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
“Timbalan Pesuruhjaya II, Dato’ Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya III, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan,” katanya yang juga bekas Menteri Besar.
Katanya lagi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, dilantik sebagai Setiausaha dan Dato’ Abdul Rahman Yunus sebagai Bendahari, Ustaz Mohd Asri Mat Daud serta Ketua Penerangan dan Dr Wan Nik Wan Yussof sebagai Pengarah Pilihan Raya.
“Selain itu, Dato’ Abdullah Yakub, Dr Nazmi Ghazali Azmi dan Mohd Ashari Mohd Zain masing-masing dilantik sebagai Penolong Setiausaha I, II dan III,” ujar beliau.
Menurutnya, seramai tujuh orang turut dilantik sebagai Ahli Badan Perhubungan Negeri iaitu Dato’ Dr Johari Mat, Wan Rohimi Wan Daud, Dato’ Md Anizam Ab Rahman, Dato’ Hanifa Ahmad, Rohani Ibrahim, Hilmi Abdullah dan Zamakhshari Muhamad. – HARAKAHDAILY 23/9/2025











