
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil maklum reaksi balas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamamd Akmal Saleh berhubung jemputan agar Umno turut serta dalam Himpunan Mega Tolak URA di sini pada 4 Oktober nanti.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Dr Akmal untuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak serta menyediakan solusi kepada kerajaan sebelum penganjuran himpunan.
“Untuk makluman pihak Umno, sebelum ini beberapa siri sidang meja bulat bersama penyelidik, NGO (badan bukan kerajaan) dan NGI (tokoh individu) telah diadakan bagi membincangkan isu RUU (Rang Undang-undang) URA (Pembaharuan Semula Bandar).
“Malah, satu resolusi rasmi telah dihantar kepada pihak KPKT dan semua Ahli Parlimen di seluruh negara di pejabat mereka masing-masing, termasuk Pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri KPKT,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu menzahirkan rasa syukur atas kenyataan Timbalan Presiden Umno yang mewakili seluruh Ahli Parlimen Umno dalam menolak draf RUU URA serta gesaan agar ia disemak dan diperbaiki pada sidang Parlimen lalu.
Namun jelasnya, ketika beberapa menteri Umno menzahirkan penolakan secara terbuka dan Umno giat membincangkan solusi mengenai nasib Melayu bandar, Nga masih bertegas mahu membentangkan bacaan kedua RUU URA pada 6 Oktober ini.
“Oleh hal demikian, Pemuda PAS telah memuktamadkan penganjuran Himpunan Mega Tolak URA sebagai isyarat jelas kepada Menteri KPKT agar tidak bersikap ‘tone deaf’ terhadap bantahan rakyat,” jelasnya.
Beliau berharap Dr Akmal dapat mempertimbangkan jemputan untuk turut serta dalam himpunan itu selain menegaskan Pemuda PAS sentiasa terbuka menerima jemputan Umno bagi membincangkan perkara berkenaan secara lebih mendalam.
“Ayuh! Semua parti berteraskan Melayu-Islam, marilah kita bersama memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Perak.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Dr Akmal menolak pelawaan Pemuda PAS untuk menyertai himpunan tersebut dan mencadangkan rundingan meja bulat mencari solusi terbaik.
Beliau menegaskan Umno konsisten menolak URA, malah telah menubuhkan jawatankuasa khas serta menganjurkan forum membincangkan isu survival Melayu bandar.
Menurutnya, jika kerajaan menolak cadangan yang dikemukakan, beliau komited untuk bersama membantah URA.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar sebelum ini berkata, pihaknya akan menjemput parti Umno untuk menyertai himpunan tersebut.
Jemputan itu terangnya dibuat kerana Umno antara yang paling kuat serta lantang menolak URA melalui jawatankuasa ditubuhkan oleh Umno, melalui Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sendiri yang telah diamanahkan sebagai pengerusi jawatankuasa untuk isu itu. – HARAKAHDAILY 23/9/2025











