
KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim menegaskan parti itu tidak pernah mengkhianati Muafakat Nasional (MN), sebaliknya tetap konsisten berusaha menyatukan parti-parti Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Menurutnya, hasrat besar PAS ketika itu ialah memastikan penyatuan tiga parti Melayu terbesar iaitu PAS, Umno dan BERSATU agar tidak bertembung sesama sendiri yang akhirnya merugikan orang Melayu.
“Tapi Umno berkeras nak jadi abang besar. Sehinggalah pada Oktober 2022, Umno meletakkan syarat sama ada pilih Umno atau BERSATU. Mereka juga telah menyiapkan pembahagian kerusi antara Umno dan PAS dengan meninggalkan BERSATU.
“Dalam masa yang sama ketika itu telah wujud PN. Apabila telah wujud persepakatan dalam PN bersama BERSATU dan parti-parti lain, maka PAS tak akan mengkhianati persepakatan yang sedia ada demi untuk memenuhi syarat Umno,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sikap Umno itu menyebabkan cita-cita menyatukan tiga parti Melayu dalam PRU15 tidak dapat direalisasikan.
Ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, keputusan PRU15 menyaksikan Umno muncul sebagai parti Melayu yang memperoleh kerusi paling sedikit berbanding PAS dan BERSATU.
Mengulas lanjut, Azman berkata selepas pilihan raya berkenaan, PAS yang memiliki jumlah kerusi dominan di Perak dan Pahang turut mengajak Umno menubuhkan kerajaan bersama, namun tawaran itu ditolak kerana Umno lebih memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Tiba-tiba muncul seorang hamba Allah yang mengamalkan politik nomad, berpindah merata-riti demi untuk nak dapat kerusi tapi tetap kalah. Dia yang baru tersedar dari mimpi berkata, PAS tinggalkan MN bersama Umno dan pilih BERSATU kerana nak dapatkan duit dari BERSATU,” katanya.
Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwakan keseluruhan kos pilihan raya PN pada PRU15 ditanggung sepenuhnya oleh BERSATU.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pihaknya tidak hairan dengan tindakan PAS yang sanggup meninggalkan Umno dalam MN semata-mata untuk bergabung bersama BERSATU menubuhkan PN. – HARAKAHDAILY 23/9/2025











