SUKMA 2028 di Kelantan bakal jadi terbaik dalam sejarah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 dipengerusikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud telah menilai status persiapan awal temasya berkenaan di negeri ini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited memastikan segala projek pembangunan infrastruktur sukan berjalan lancar, menepati jadual dan mencapai piawaian kebangsaan.

“InsyaAllah SUKMA 2028 akan menjadi temasya terbaik dalam sejarah penganjurannya di negeri Kelantan. Ia bukan sekadar sebuah temasya sukan tetapi manifestasi tekad bersama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Khususnya dalam membangunkan kemudahan sukan bertaraf kebangsaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang berlangsung di sini kelmarin.

Nassuruddin menambah, SUKMA 2028 bukan hanya akan menjadi platform pertandingan, tetapi juga wahana untuk mengangkat semangat rakyat Kelantan yang terkenal dengan budaya kecintaan terhadap sukan.

“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin Kelantan mampu menonjolkan kemampuan menganjurkan acara besar. Kita mahu setiap atlet, pegawai dan pengunjung yang datang ke Kelantan merasai keunikan budaya serta keramahan masyarakat negeri ini,” ujarnya.

Beliau turut menekankan aspek ekonomi dan pembangunan jangka panjang yang akan dinikmati rakyat hasil penganjuran temasya tersebut.

“Penganjuran ini akan melonjakkan aktiviti ekonomi terutama sektor pelancongan, perhotelan dan perusahaan kecil tempatan. Lebih penting, fasiliti yang dibina akan memberi manfaat berterusan kepada generasi muda untuk terus bergiat dalam bidang sukan,” jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad dalam pada itu menyifatkan mesyuarat tersebut penting kerana ia menjadi penanda aras terhadap kelancaran pelaksanaan projek pembangunan yang sedang berjalan.

Menurutnya, SUKMA 2028 adalah peluang terbaik untuk Kelantan menunjukkan kemampuan sebagai tuan rumah dengan sokongan padu daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan. – *HARAKAHDAILY 20/8/2025*

- Advertisement -