
KUALA LUMPUR: Selain pertikaian antara Malaysia dan Indonesia, kerajaan juga perlu menjelaskan perbezaan nama kawasan seluas 15.235 kilometer persegi di Laut Sulawesi yang sarat dengan minyak dan gas.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, Malaysia merujuk perairan terletak di Tenggara Sabah dengan nama ND6 dan ND7, sementara Indonesia pula memanggil lokasi tersebut dengan istilah Ambalat.
Beliau turut mempertikaikan sejauhmana pertemuan yang diadakan kira-kira sebulan lalu antara dua pemimpin tertinggi negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Probowo Subianto, memberi manfaat kepada Sarawak dan Sabah.
“Indonesia merujuk laut kepunyaan malaysia ini sebagai Ambalat, Malaysia merujuknya sebagai blok ND6 dan ND7, adakah Malaysia tidak bercadang untuk memberi nama yang lebih signifikan ke atas laut ini?
“Perundingan yang dijalankan antara Perdana Menteri dengan Probowo, adakah hak Sabah dilindungi melalui penglibatan Ketua Menteri Sabah dengan Ketua Menteri Sarawak dalam rundingan itu?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dalam jawapannya menjelaskan kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menukar blok ND6 dan ND7, malah mengekalkan dengan nama yang dikenali pada hari ini.
“Keduanya soal menamakan nama baru itu, Dato’ Sepaker, itu belum lagi ada dalam perbincangan kita tetapi kita kekalkan istilah ataupun ‘term’ yang kita gunakan pada hari ini,” kata Ahli Parlimen Kimanis itu.
Dalam pada itu Mohamad turut menjelaskan pertemuan antara dua pemimpin tertinggi Malaysia dan Indonesia yang diadakan kira-kira sebulan lalu turut membabitkan Kerajaan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pertemuan membabitkan lapan mata itu bukan hanya membicarakan mengenai pertikaian dalam blok ND6 dan ND7 sahaja, bahkan turut membabitkan rundingan tahunan antara dua negara serumpun itu.
“Secara umum tetapi kedua-dua pimpin bersetuju untuk meminta kedua-dua pihak meneruskan rundingan menggunakan mekanisme sedia ada, mesyuarat yang sedia ada itu dalam mesyuarat teknikal persempadanan maritim.
“Banyak perkara di dibincang dalam ‘anual consultation’, bukan hanya hal-hal maritim tetapi banyak isu-isu semasa juga dibincangkan termasuklah isu pendidikan yang ada di Sabah yang perlu kita bantu juga,” katanya.
Dalam soalan asal Ronald meminta kerajaan menyatakan kerjasama ekonomi melibatkan blok ND6 dan ND7 yang dibincangkan dalam perundingan bersama Indonesia baru-baru ini yang menjadi intipati Triti Laut Sulawesi. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











