
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyifatkan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberikan insentif khas kepada sekolah yang sifar buli sebagai langkah silap dari segi strategi membasmi gejala itu.
Katanya, pendekatan berkenaan dibimbangi membuka ruang kepada pihak sekolah untuk menutup dan menyembunyikan kes buli semata-mata kerana mahu merebut pengiktirafan dan ganjaran.
“Pengalaman sebagai seorang pendidik membuatkan saya agak bimbang apabila mendengar kenyataan Menteri Pendidikan. Ia ibarat menutup bangkai dengan nyiru (kerana) masalah tidak selesai, bahkan berisiko membusuk dalam senyap,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, KPM sepatutnya hadir dengan pelan strategi yang lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh mata pelajaran yang menekankan akhlak, adab dan nilai hidup secara holistik, bukan sekadar mengejar pengiktirafan kosmetik dan pujian kosong.
“Pendidikan mesti kembali kepada roh sebenar, yakni membina manusia yang seimbang akal, emosi dan spiritual,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam masa sama, beliau berkata aspek integriti dan amanah guru juga perlu diberi perhatian kerana guru sejati akan berani melaporkan serta membanteras buli, bukannya menutup kes demi imej sekolah.
“Bak kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah. Proses kenaikan pangkat pula seharusnya menilai bukan sahaja prestasi akademik atau kecemerlangan sekolah, tetapi juga kepimpinan dan sahsiah.
“Pentadbir, guru besar dan guru yang terbukti berjaya membina modal insan serta membentuk akhlak murid wajar lebih dihargai,” kupas Dr Aliakbar.
Menurutnya lagi, KPM juga perlu memperkenalkan program intervensi psikologi konsisten, termasuk kaunseling berterusan kepada pelaku dan mangsa buli kerana anak-anak yang terjebak dengan budaya itu sedang berdepan krisis dalaman, sama ada tekanan keluarga, persekitaran sosial atau kurang bimbingan jiwa.
“Jika tidak ditangani dari akarnya, masalah ini akan berulang. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Membanteras buli bukan kerja bersifat kosmetik dan retorik.
“(Ia sebaliknya) menuntut keberanian, kejujuran dan strategi pendidikan yang benar-benar berpaksi kepada pembinaan insan, bukan sekadar angka di atas kertas,” jelasnya.
Justeru katanya, budaya buli mesti ditangani dari akar dengan memberi penekanan kepada nilai murni sejak peringkat awal pendidikan.
“Pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah pentingnya mendidik anak-anak dengan nilai murni sejak awal agar budaya buli dapat dibasmi dari akar,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











