
KUALA LUMPUR: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan reformasi pendidikan dalam mengurangkan beban guru.
Beliau menyatakan, meskipun Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan modul serta tujuh langkah penambahbaikan yang diumumkan sebelum ini, rungutan guru-guru berhubung beban kerja bertindih masih berterusan.
“Saya mendapat banyak aduan bahawa guru terpaksa mengulangi kerja-kerja yang sama, khususnya apabila program yang dirancang sejak awal tahun bertindih dengan arahan baharu daripada pihak KPM, contohnya gotong-royong Madani,” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta data rasmi secara bertulis berhubung jumlah guru yang bersara awal, dengan pecahan mengikut negeri, opsyen subjek serta kategori sekolah sama ada bandar atau luar bandar.
Menurutnya, maklumat ini penting untuk menilai jurang kritikal kekurangan guru di lokasi tertentu.
“Bolehkah Yang Berhormat beri secara bertulis data, iaitu berkenaan dengan jumlah guru yang bersara awal ikut negeri ‘option of subjek’ dan juga sekolah bandar ataupun luar bandar supaya dapat lihat jurang kritikal kekurangan guru di kawasan tertentu?” soal beliau.
Menjawab soalan tambahan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihak kementerian akan mengemukakan data berkenaan secara bertulis kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Beliau menambah, selain tujuh langkah yang diperkenalkan, terdapat beberapa inisiatif tambahan bersifat holistik dan progresif, antaranya termasuk langkah melantik pengawas peperiksaan SPM dalam kalangan individu bukan guru.
“Ini adalah untuk memastikan bahawa kita mempunyai segolongan target kita 20 peratus daripada kesemua pengawas peperiksaan itu terdiri daripada mereka yang datang dari bukan guru, namun target itu belum lagi tercapai,” jelasnya.
Datuk Wira Mas Ermieyati sebelum itu dalam soalan asalnya meminta Menteri Pendidikan menyatakan berapa ramaikah guru yang
memilih untuk bersara awal bagi tahun 2022 hingga 2024.
Juga apakah langkah kementerian bagi menangani isu kekurangan tenaga pengajar serta memastikan kesejahteraan guru melalui pengurusan beban kerja terutama sekali apabila sekolah berhadapan dengan isu kekurangan tenaga pengajar. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











