
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan rasa dukacita dan kesal yang amat mendalam terhadap tragedi kemalangan maut terbaru mengorbankan seorang ibu tunggal, lalu meninggalkan lima orang anak masih kecil menjadi yatim.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, mangsa yang bertarung nyawa selama tujuh hari akhirnya meninggal dunia selepas dirempuh seorang pemandu mabuk.
“Tambahan lagi, seorang anggota polis berpangkat konstabel juga maut dilanggar pemandu mabuk baru-baru ini, menambah koleksi kes kemalangan maut akibat rempuhan pemandu yang sedang dalam keadaan mabuk,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejadian itu bukanlah terpencil kerana pada April lalu, seorang pemuda yang ikhlas membantu penunggang motosikal terbabas turut maut akibat dirempuh pemandu mabuk, sedangkan pemandu berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.
“(Malangnya), insan yang tidak bersalah terkorban. Tragedi seperti ini saban tahun berulang, meragut nyawa dan meninggalkan luka yang tidak pernah sembuh dalam masyarakat,” kesalnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.
Katanya, Dewan Ulamak PAS mengakui pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2020, khususnya melalui Seksyen 44(1) Akta 333, sudah meningkatkan kadar hukuman dengan peruntukan penjara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000.
“Bagi sabitan seterusnya, hukuman ditingkatkan sehingga 20 tahun penjara dan denda RM150,000. Namun, kejadian yang berterusan membuktikan bahawa hukuman semata-mata belum mencukupi untuk memberi kesan pencegahan atau _‘deterrent’_,” jelasnya.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Kedah itu mempersoalkan sampai bila nyawa rakyat menjadi taruhan akibat kelemahan kawalan terhadap penjualan dan penggunaan alkohol, selain keluarga tidak berdosa terus menanggung derita akibat sikap segelintir pemandu mabuk.
“Kerajaan sewajarnya menilai semula dasar pelesenan dan penjualan alkohol secara lebih tegas dan menyeluruh, di samping meningkatkan langkah penguatkuasaan yang tidak hanya bergantung kepada hukuman berat, tetapi juga pencegahan di peringkat awal,” gesanya.
Beliau menegaskan, sebarang alasan atas nama kebebasan dan hak asasi untuk mempertahankan arak tidak boleh mengatasi hak rakyat untuk hidup dengan selamat.
“Islam dengan jelas mengharamkan arak kerana mudaratnya lebih besar daripada manfaatnya. Al-Quran menyifatkan arak sebagai ibu segala kejahatan yang membawa kepada kerosakan akal, perpecahan keluarga, jenayah, dan akhirnya kehilangan nyawa.
“Bertolak ansur terhadap arak bererti bertolak ansur terhadap nyawa rakyat yang tidak berdosa,” tegas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
Dalam pada itu, Dewan Ulamak PAS Pusat tegasnya, menuntut agar kerajaan tidak tunduk kepada tekanan pihak berkepentingan dalam isu berkenaan.
“Pilihan hanya dua, sama ada bertegas demi keselamatan nyawa rakyat, atau terus membiarkan tragedi demi tragedi berlaku hingga lebih ramai anak menjadi yatim, lebih ramai isteri kehilangan suami, lebih ramai ibu bapa kehilangan anak.
“Sampai bila kita sanggup melihat rakyat terus menjadi korban akibat pemandu mabuk?” soalnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











